
Sasaran penjanaan tenaga diperbaharui 50 peratus menjelang 2050 boleh dicapai – Accenture
KUALA LUMPUR,. Sasaran penjanaan tenaga diperbaharui sebanyak 50 peratus menjelang 2050 oleh kerajaan boleh dicapai dengan sokongan dan trajektori semasa, kata Pengarah Urusan Asean Smart Grid Services Lead, Accenture, Singapura, Lim Chih Shoong.
Beliau berkata ia adalah kritikal dan kerajaan telah memperkenalkan satu konsep gaya hidup bagi negara agar semua orang boleh berusaha mencapai sasaran yang sama.
“Pelaburan besar diperuntukkan bagi tenaga boleh diperbaharui, dan hanya untuk kenderaan elektrik sahaja, Malaysia membelanjakan kira-kira RM5 bilion,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Lim berkata berdasarkan trend serantau, pengeluaran panel solar dan sel bateri juga akan dipertingkatkan.
“Kemajuan teknologi telah mengurangkan kos untuk tenaga boleh diperbaharui, menjadikannya lebih baik dan lebih murah. Tidak ada perbezaan dalam penyimpanan utiliti berbanding teknologi telefon bimbit, kerana ia sentiasa berubah dan menjadikannya lebih baik dan cekap kos.
“Kami melihat kepada penyimpanan (tenaga) besar-besaran, daripada saiz kontena hingga separuh saiz dan harga akan terus menurun, berikutan peningkatan kecekapan dan ia tidak akan berhenti dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata Accenture mempunyai pandangan, iaitu Wise Pivot – penyelesaian model pasaran yang akan membantu mengubah perniagaan teras bagi mengoptimumkan proses teras dan memanfaatkan nilai yang ada dalam operasi semasa, memacu kapasiti pelaburan dengan penyelesaian berkeupayaan digital yang canggih.
“Mengembangkan perniagaan teras untuk menjana pertumbuhan. Penyedia tenaga boleh mengembangkan perniagaan teras mereka dengan pelaburan berpilih dalam tenaga diperbaharui dan penjanaan, dalam peningkatan dan pengembangan grid, serta pengoptimuman pengagihan dan pengembangan berasaskan pelanggan semasa,” katanya.
–BERNAMA
Oleh Azlee Nor Mahmud