
Serangan Gaza: Netanyahu Dituduh Sanggup Korban Nyawa Demi Kepentingan Politik
KUALA LUMPUR, 27 Mac — Tindakan Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza selepas gencatan senjata dikritik sebagai strategi politik terdesak oleh Benjamin Netanyahu untuk terus memegang kuasa, menurut penganalisis politik tempatan.
Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr. Nazari Ismail menyifatkan perang ini sebagai langkah tidak berperikemanusiaan yang hanya menambah penderitaan rakyat Palestin dan merosakkan imej Israel secara global.
“Dunia melihat Israel sebagai rejim zalim. Bukan saja rakyat Palestin terbunuh, tetapi masyarakat antarabangsa semakin hilang hormat kepada negara itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan IKRAM Muda Malaysia, Usaid Mohd Asmadi menambah, kuasa besar seperti Amerika Syarikat juga gagal membantu Israel mencapai kemenangan, malah memperlihatkan kelemahan mereka dalam menundukkan rakyat Gaza yang serba daif.
Serangan udara Israel sejak minggu lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 41 lagi nyawa, menjadikan jumlah korban melebihi 50,000 orang sejak Oktober 2023.