Serangan Israel terus membunuh Gaza

Serangan Israel terus membunuh Gaza

SEMENANJUNG GAZA: Pihak berkuasa Hamas di Gaza menyatakan serangan Israel pada Sabtu ke atas sebuah sekolah yang dikelola oleh PBB bagi menempatkan ribuan pelarian berlindung telah mengorbankan 16 orang.

Pihak tentera Israel menyatakan pesawatnya telah menyasarkan “pengganas” yang beroperasi di sekitar sekolah Al-Jawni di Nuseirat, tengah Gaza.

Kementerian kesihatan di wilayah yang ditadbir oleh Hamas itu, yang mengecam serangan tersebut sebagai “pembunuhan beramai-ramai yang menjelikkan”, menyatakan 50 orang yang cedera telah dibawa ke hospital dari sekolah.

Kira-kira 7,000 orang berlindung di sekolah itu pada masa serangan, menurut pejabat media kerajaan Hamas. Beberapa orang bergegas memeriksa di antara runtuhan selepas serangan bagi mencari mangsa yang masih hidup.

Pejabat media menyatakan sekolah itu diuruskan oleh agensi PBB bagi pelarian Palestin, UNRWA, dan kebanyakan mangsa yang mati adalah “kanak-kanak, wanita dan golongan warga emas”.

“Ini merupakan kali keempat mereka menyasarkan sekolah tanpa amaran,” menurut seorang wanita, Samah Abu Amsha, yang memberitahu tentang bagaimana beberapa orang kanak-kanak terkorban ketika mereka sedang mengaji al-Quran dalam sebuah kelas ketika misil menyerang.

“Serpihan jatuh ke atas saya di dalam kelas dan kanak-kanak telah tercedera,” beliau memberitahu AFP.

Hamas menyatakan serangan sebagai “satu pembunuhan beramai-ramai dan jenayah baharu dilakukan oleh musuh penjenayah ini sebagai sebahagian daripada perang genosidnya terhadap rakyat Palestin”.

Pihak tentera Israel dalam kenyataan mereka pula mendakwa telah “menyerang beberapa pengganas yang beroperasi di beberapa tempat terletak di kawasan sekolah Al-Jawni milik UNRWA”.

“Lokasi ini bertindak sebagai satu tempat persembunyian dan bangunan operasi serangan terhadap anggota TDF yang beroperasi di Semenanjung
Gaza,” tambahnya, menegaskan bahawa “beberapa langkah telah diambil bagi mengurangkan risiko bahaya terhadap orang awam”.

Israel telah bersetuju untuk bertemu dengan pihak perunding bagi satu inisiatif gencatan senjata namun telah meneruskan serangannya di wilayah yang bermula pada 7 Oktober selepas Hamas menyerang bahagian selatan Israel.

UNRWA menyatakan dua daripada pekerjanya telah terkorban dalam satu serangan di Al-Bureij, juga di tengah Gaza, pada awal Sabtu. Pihak agensi memiliki sebuah gudang utama makanan di daerah ini.

Hospital Al-Aqsa menyatakan sembilan mayat lagi telah dibawa ke rumah mayat selepas serangan.

Pihak agensi PBB menyatakan 194 orang daripada pekerjanya sehingga kini telah terkorban sejak peperangan bermula.

Seorang jurucakap UNRWA menyatakan bahawa sejak peperangan bermula, lebih daripada separuh fasiliti agensi diserang dan kebanyakan adalah rumah perlindungan.

“Akibatnya sekurang-kurangnya 500 orang yang berlindung di fasiliti tersebut telah terkorban,” jurucakap itu memberitahu AFP.

Pihak perubatan menyatakan 10 orang, termasuk tiga orang wartawan, meninggal dunia dalam satu lagi serangan ke atas sebuah rumah di Nuseirat pada Sabtu.

“Benar-benar tiada tempat di Semenanjung Gaza yang selamat,” kata jurucakap pertahanan awam Mahmud Bassal.

Peperangan bermula dengan serangan 7 Oktober ke selatan Israel yang mengakibatkan kematian 1,195 orang, kebanyakan warga awam, menurut angka dari Israel.

Pihak militan Hamas turut menculik tebusan, 116 daripada mereka masih di Gaza termasuk 42 yang menurut pihak tentera sebagai telah meninggal dunia.

Dalam responsnya, Israel telah melakukan serangan ketenteraan yang telah membunuh sekurang-kurangnya 38,098 orang di Gaza, juga kebanyakannya warga awam, berdasarkan kepada data dari kementerian kesihatan yang diuruskan oleh Hamas di sana.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )