
Sindiket penipuan dalam talian: 45 ditahan polis
KUALA LUMPUR,. Seramai 45 individu yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian, yang menyasarkan pelanggan dari China, ditahan di dua premis berasingan di Jalan Bukit Bintang di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam serbuan pada 2 Jan lepas itu, 26 warga tempatan dan 19 warga China berusia antara 18 hingga 36 tahun ditahan, selain merampas komputer dan telefon bimbit pelbagai jenama, serta wang tunai kira-kira RM20,000.
Katanya warga tempatan yang diambil bekerja itu, dibayar gaji RM2,000 hingga RM8,000 sebulan berdasarkan taraf pendidikan mereka.
“Sindiket ini turut mengiklankan pekerjaan ‘call centre’ di agensi pekerjaan dalam talian, bagi mencari pekerja dalam kalangan warga tempatan,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Rabu.
Katanya, hasil siasatan mendapati premis pertama telah beroperasi kira-kira sebulan, manakala premis kedua beroperasi sejak 2018 di bangunan pejabat yang masing-masing disewa pada kadar RM18,000 dan RM20,000 sebulan.
Menurutnya, kedua-dua premis itu memperolehi keuntungan dianggarkan mencecah RM6 juta sebulan.
Mazlan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, kerana masuk dan tinggal di negara tanpa dokumen sah.
— BERNAMA