SINGAPURA,. Kerajaan Singapura sedang meneliti perincian kawalan eksport lebih ketat terhadap semikonduktor canggih yang diperkenalkan oleh Biro Indus
SINGAPURA,. Kerajaan Singapura sedang meneliti perincian kawalan eksport lebih ketat terhadap semikonduktor canggih yang diperkenalkan oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat yang terjejas bagi memahami kemungkinan kesan langkah itu terhadap operasi perniagaan mereka.
“Kami juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa AS yang berkaitan bagi mendapatkan penjelasan mengenai skop dan pelaksanaan langkah itu, selain meneroka kaedah untuk memudahkan syarikat Singapura mendapatkan akses kepada teknologi berkenaan melalui saluran yang dipercayai.
“Sebagai hab teknologi dan perdagangan global, Singapura akan terus memelihara integriti persekitaran perniagaannya serta memastikan syarikat yang menjalankan operasi secara sah di negara ini terus mendapat akses kepada semikonduktor canggih dan keupayaan pengkomputeran, selain mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Pada Isnin, AS mengumumkan Interim Final Rule baharu yang memperkenalkan kawalan lebih ketat terhadap eksport semikonduktor canggih ke negara tertentu.
Di bawah peraturan itu, lesen diperlukan bagi mengeksport, mengeksport semula atau memindahkan semikonduktor canggih dalam negara ke Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand atau Brazil.
Bagaimanapun, keperluan lesen itu tidak terpakai kepada semikonduktor yang dihantar kepada syarikat beribu pejabat di AS atau syarikat yang mempunyai syarikat induk utama beribu pejabat di negara berkenaan, tertakluk kepada pematuhan syarat pelaporan tertentu.
Menurut kenyataan bersama itu, MDDI dan METI menegaskan bahawa Singapura merupakan hab perniagaan antarabangsa yang dipercayai, berteraskan kedaulatan undang-undang yang kukuh.
“Kami memandang serius reputasi antarabangsa Singapura dan tidak akan bertolak ansur terhadap syarikat yang menggunakan kaitan mereka dengan negara ini untuk memintas atau melanggar undang-undang negara lain dalam kegiatan perniagaan antarabangsa, termasuk peraturan kawalan eksport,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA

