Sistem penyaluran subsidi kepada pembungkus semula minyak masak ditambah baik

Sistem penyaluran subsidi kepada pembungkus semula minyak masak ditambah baik

PUTRAJAYA,. Sistem penyaluran subsidi kepada pembungkus semula minyak masak akan ditambah baik bagi mengelakkan isu penyeludupan berterusan, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pembungkus semula minyak masak menghadapi masalah ‘aliran tunai’ kerana bayaran subsidi yang sepatutnya diterima lambat disalurkan menjadi antara sebab berlakunya kebocoran.

“Ini mendorong mereka mengambil jalan pintas dengan menjual minyak yang ada, tidak mengikut saluran program subsidi untuk mendapat keuntungan cepat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu di sini hari ini.

Menurut Annuar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan sewajarnya terhadap masalah itu untuk membolehkan sistem penyaluran itu ditambah baik agar pihak pembungkus semula tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bayaran.

Menurutnya, mesyuarat pasukan khas itu hari ini telah membincangkan perkara itu dan Kementerian Kewangan juga telah memberi input bagaimana perkara itu boleh diatasi secara dalaman di peringkat KPDNHEP.

“Saya yakin mereka berupaya mengambil tindakan supaya masalah kelambatan menerima bayaran komponen susbidi bagi pembungkus semula dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya.

Berhubung kegiatan penyeludupan minyak masak, Annuar berkata terdapat banyak maklumat diterima pihaknya mengenai perkara itu, dan beliau menegaskan bahawa pihak penguat kuasa tidak akan berkompromi dengan salah laku terbabit.

“Kita sedang buat pemantauan (terhadap) beberapa lagi rangkaian penyeludup. Jadi jangan pihak yang menjalankan aktiviti penyeludupan merasakan mereka (penguat kuasa) terlepas pandang, kita beri jaminan pihak penguat kuasa akan meneruskan tindakan mereka,” katanya yang turut menyeru orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai penyelewengan minyak masak.

Mengenai kos sara hidup di institusi pengajian tinggi (IPT), Annuar berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang merangka pelbagai rancangan bagi menangani isu kos sara hidup siswa di kampus, selain melaksanakan inisiatif harga sajian makanan yang rendah bagi mereka, serendah RM3.50 sepinggan.

Menurutnya hasil pertemuan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dengan semua pentadbir universiti, pelbagai langkah sedang dirangka untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar bukan sahaja dari sudut bekalan makanan harian, tetapi juga berkaitan kos penginapan, pengangkutan dan yuran.

“Ini juga satu lagi bukti yang menunjukkan apabila ada permuafakatan dan kerjasama, usaha untuk mengekang kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup sebenarnya sangat boleh dilakukan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This