Skuad boling padang pamer prestasi baik walau tanpa kejohanan kompetitif

Skuad boling padang pamer prestasi baik walau tanpa kejohanan kompetitif

KUALA LUMPUR,. Biarpun tanpa saingan kompetitif tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19, skuad boling padang negara masih menampilkan prestasi membanggakan ketika menyertai kejohanan dalaman yang diadakan setakat ini.

Perkara itu diakui ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh setelah menilai pencapaian anak buahnya pada Kejohanan Tertutup Berpasukan Campuran yang diadakan di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara bermula 18 Nov lalu dan akan berakhir esok.

Beliau berkata berdasarkan penyertaan dalam dua kejohanan sebelum ini serta Kejohanan Tertutup Berpasukan Campuran itu, anak didiknya sudah mendapat kembali rentak balingan mereka.

Namun, beliau berkata masih ada ruang yang perlu diperbaiki terutama dari aspek teknik balingan.

“Setakat ini, kami lebih menumpukan kepada teknik kawalan bola ketika membuat balingan. Perkara lain yang belum memuaskan hati saya ialah dari tahap kecergasan.

“Malah, aspek lain yang perlu dititikberatkan adalah segi psikologi bagi memastikan atlet kebangsaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengenai kejohanan dalaman itu, Zuraidi berkata atlet negara menunjukkan persaingan sihat dalam kalangan mereka bagi membuktikan keupayaan masing-masing untuk dipilih mewakili negara pada kejohanan antarabangsa akan datang.

Berikutan banyak kejohanan antarabangsa dibatalkan dan sesi latihan intensif di Australia seperti tahun-tahun sebelum ini terpaksa ditangguhkan susulan COVID-19, Zuraidi percaya anak buahnya sudah membiasakan diri dengan corak latihan norma baharu dan sentiasa bersedia jika perlu beraksi pada mana-mana kejohanan selepas ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This