Speaker Parlimen Turkiye adakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Malaysia, Palestin

Speaker Parlimen Turkiye adakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Malaysia, Palestin

ISTANBUL,. Speaker Parlimen Turkiye Numan Kurtulmus mengadakan pertemuan berasingan di Istanbul dengan rakan sejawatnya dari Malaysia dan Palestin pada Sabtu sempena Mesyuarat Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin, lapor agensi berita Anadolu Ajansi.

Menurut Pejabat Speaker Parlimen Turkiye, Kurtulmus menyifatkan pertemuannya dengan Speaker Dewan Rakyat Malaysia Tan Sri Johari Abdul sebagai produktif dan berjaya.

“Dalam pertemuan ini, kami menegaskan sokongan padu terhadap perjuangan Palestin dan menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan antara Parlimen Turkiye dan Malaysia,” katanya menerusi platform X, sambil menambah bahawa lawatan Johari bakal mengeratkan lagi hubungan dua hala.

Kurtulmus turut merakamkan penghargaan kepada Johari atas sokongan kuat beliau serta menekankan bahawa pengembangan dialog dalam platform itu berpotensi menggerakkan sokongan antarabangsa yang lebih meluas terhadap perjuangan Palestin dan memperkukuh penyelesaian dua negara sebagai jalan penyelesaian yang paling realistik.

Beliau berkata kumpulan itu terbuka kepada penyertaan parlimen dari seluruh dunia, bukan hanya negara majoriti Islam.

Kurtulmus turut menekankan hubungan erat antara Turkiye dan Malaysia serta komitmen bersama untuk memperluas kerjasama di peringkat parlimen. Beliau turut memuji pengaruh Malaysia yang semakin meningkat di Asia dan menyifatkannya sebagai rakan strategik yang berharga.

Dalam pertemuannya dengan Speaker Majlis Perundangan Palestin Rawhi Fattouh, Kurtulmus menegaskan sokongan berterusan Turkiye terhadap Palestin dan menggesa penggunaan “segala bentuk diplomasi parlimen” bagi menghentikan perang genosid Israel serta mencapai gencatan senjata berkekalan.

Beliau berkata genosid yang berlaku di Gaza dan wilayah Palestin lain telah melangkaui pembunuhan beramai-ramai dan merupakan antara genosid paling kejam dalam sejarah.

Kurtulmus menambah bahawa tanggungjawab bukan sahaja terletak kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan kelompoknya, tetapi juga mereka yang menyokongnya.

Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin, yang dilancarkan oleh Parlimen Turkiye, bertujuan menyatukan badan perundangan dari seluruh dunia bagi menentang perang Israel.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )