SSM cadang semak semula kriteria pengecualian audit bagi syarikat persendirian di Malaysia

SSM cadang semak semula kriteria pengecualian audit bagi syarikat persendirian di Malaysia

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bercadang untuk menyemak semula nilai ambang kriteria kelayakan bagi pengecualian audit bagi kategori syarikat persendirian tertentu.

SSM dalam satu kenyataan berkata, cadangan semakan semula itu akan dijalankan melalui kaedah konsultatif dengan menerbitkan Dokumen Konsultasi berhubung Cadangan Semakan Kriteria Pengecualian Audit bagi Syarikat Persendirian di Malaysia.

Ia berkata, kriteria kelayakan bagi pengecualian audit telah diperkenalkan pada 4 Ogos 2017 Arahan Amalan No. 3/2017 selaras dengan polisi untuk mengurangkan beban pematuhan dan pentadbiran yang dihadapi oleh syarikat kecil dalam mematuhi kehendak Akta Syarikat 2016.

“Bagi memastikan objektif polisi kekal relevan dan bermanfaat, SSM mencadangkan agar nilai ambang kriteria kelayakan pengecualian audit dinaikkan bagi membolehkan lebih banyak syarikat terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat manfaat daripada polisi ini,” katanya semalam.

SSM berkata, kriteria kelayakan baharu dicadangkan akan merangkumi tiga kategori syarikat swasta iaitu syarikat dorman,syarikat sifar pendapatan dan syarikat berkelayakan nilai ambang.

Ia berkata syarikat dorman perlu dorman sejak diperbadankan atau dorman dalam tempoh 2 tahun kewangan untuk layak mendapat pengecualian audit manakala syarikat sifar pendapatan tidak mempunyai pendapatan pada tahun kewangan semasa dan 2 tahun kewangan terdahulu dengan jumlah aset tidak melebihi RM500,00 dalam tempoh yang sama.

SSM berkata bagi syarikat berkelayakan nilai ambang, cadangan kriteria kelayakan termasuk mempunyai pendapatan tidak melebihi RM1 juta semasa tahun kewangan dan 2 tahun kewangan terdahulu dengan jumlah aset tidak melebihi RM1 juta dan mempunyai tidak lebih daripada 30 pekerja dalam tempoh yang sama.

Buat masa sekarang, katanya, syarikat persendirian boleh mengenepikan keperluan daripada diaudit sekiranya kriteria kelayakan sedia ada dipenuhi.

Dokumen konsultasi boleh diakses melalui Portal SSM dan semua platform media sosial rasmi SSM.

Oleh itu, SSM mempelawa komen berhubung dokumen konsultasi melalui emel kepada [email protected] sebelum 28 Februari 2023.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)