Stok minyak sawit Malaysia susut 6.56 peratus pada Februari 2023
KUALA LUMPUR,. Jumlah stok minyak sawit Malaysia turun sebanyak 6.56 peratus kepada 2.11 juta tan metrik pada Februari 2023 daripada 2.26 juta tan metrik yang direkodkan pada bulan sebelumnya, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
MPOB dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata stok minyak sawit mentah (MSM) berkurangan sebanyak 7.69 peratus kepada 1.16 juta tan metrik pada Februari daripada 1.25 juta tan metrik pada Januari manakala stok minyak sawit diproses susut 5.15 peratus kepada 959,451 tan metrik daripada 1.01 juta tan metrik sebelumnya.
Pengeluaran MSM merosot 9.35 peratus kepada 1.25 juta tan metrik pada Februari daripada 1.38 juta tan metrik pada Januari, manakala pengeluaran isirong sawit turun 7.10 peratus kepada 316,196 tan metrik daripada 340,369 tan metrik.
“Eksport minyak sawit juga susut 1.99 peratus pada Februari kepada 1.11 juta tan metrik daripada 1.13 juta tan metrik pada Januari manakala eksport oleokimia meningkat 8.13 peratus kepada 228,088 tan metrik berbanding 210,936 tan metrik,” katanya.
MPOB berkata eksport biodiesel pada bulan tersebut meningkat 3.23 peratus kepada 14,699 tan metrik daripada 14,239 tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala eksport dedak isirong sawit naik 4.04 peratus kepada 210,612 tan metrik daripada 202,431 tan metrik.
Manakala, eksport minyak isirong sawit jatuh 3.57 peratus pada Februari kepada 59,888 tan metrik daripada 62,102 tan metrik pada Januari.
— BERNAMA