
Sukma ke-20: Sarawak benar atlet berlatih di Kompleks Sukan Negeri
KUCHING,. Atlet-atlet yang bakal mewakili Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 tahun hadapan, dibenarkan untuk meneruskan latihan di Kompleks Sukan Negeri, Petra Jaya di bawah seliaan kerajaan negeri bermula Rabu ini.
Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kebenaran itu diberikan susulan pembukaan semula kompleks berkenaan kepada orang ramai selepas pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun lepas.
“Bermula sekarang hingga Sukma diadakan, kita mempunyai masa 263 hari dan selepas ditolak cuti umum, hanya terdapat lebih kurang 200 hari sahaja.
“Ini merupakan waktu yang singkat untuk mempersiapkan atlet untuk menghadapi sukan dwi tahunan itu,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai pembangunan sukan Majlis Sukan Negeri (MSN) di sini, hari ini.
Katanya setiap atlet dan jurulatih yang terlibat wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan termasuk amalan penjarakan sosial ketika melakukan latihan mereka serta pengambilan suhu badan.
Abdul Karim berkata atlet yang menunjukkan simptom demam dengan suhu melebihi 37.5 darjah Celsius akan diwajibkan menjalani ujian Real-Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) selain tidak dibenar untuk meneruskan latihan.
Bagi aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan seperti sukan bola sepak, tinju, hoki serta ragbi pula, kebenaran latihan hanya diberikan kepada atlet yang akan beraksi dalam temasya Sukma sahaja dan bukan untuk latihan bagi kejohanan lain.
Katanya kebenaran sama turut diberikan kepada atlet paralimpik yang bakal mewakili Sarawak dalam sukan Para Sukma yang akan diadakan di Johor tahun depan.
— BERNAMA