Sukuk Prihatin bantu rakyat pulihkan ekonomi – Ahli akademik

Sukuk Prihatin bantu rakyat pulihkan ekonomi – Ahli akademik

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Keputusan kerajaan untuk menerbitkan Sukuk Prihatin sebanyak RM500 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) adalah langkah yang baik, kata ahli akademik.

Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia Prof Dr Russayani Ismail berkata langkah itu akan membolehkan lebih ramai orang mengambil bahagian dalam membangunkan semula ekonomi negara yang telah terjejas akibat penularan COVID-19.

PENJANA adalah langkah pantas untuk membangunkan dan merancakkan ekonomi untuk jangka pendek dari bulan Jun hingga Disember 2020.

Russayani berkata walaupun pada fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai telah membantu negara dengan pelbagai cara seperti bantuan oleh individu dan badan bukan kerajaan (NGO) kepada petugas barisan depan dan golongan terkesan yang lain.

Beliau berkata melalui penerbitan bon Islam (Sukuk), orang ramai dan perniagaan akan berpeluang menyumbang untuk menyokong usaha pemulihan pasca COVID -19.

“Jika kita melihat data yang diberikan oleh SME bank, penerbitan nota jangka sederhana Islam (IMTN) dijamin kerajaan mengalami lebihan langganan sebanyak 4.5 kali atau RM2.2 bilion daripada jumlah terbitan sebenar berjumlah RM500 juta pada 16 April.

“Ini menunjukkan bagaimana penerbitan Sukuk mendapat sambutan positif daripada rakyat walaupun pasaran modal tidak menentu.

“Dengan pendapatan kerajaan menerusi cukai dijangka menurun kerana kelembapan pertumbuhan ekonomi, penerbitan Sukuk Prihatin adalah cara alternatif bagi kerajaan untuk mengumpulkan wang untuk membiayai projek-projek yang membantu ekonomi pulih,” katanya kepada Bernama hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan PENJANA minggu lepas berkata hasil penerbitan Sukuk akan digunakan untuk program pembangunan khusus seperti kesalinghubungan sekolah terutama di kawasan luar bandar, pembiayaan untuk perusahaan mikro dengan memberi perhatian terhadap usahawan wanita dan geran penyelidikan untuk penyakit berjangkit.

Inisiatif Sukuk Prihatin adalah sebahagian daripada keseluruhan RM35 bilion untuk PENJANA yang terdiri daripada 40 inisiatif.

“Semuaa ini dalam jangka panjang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami tahu bahawa PKS merangkumi sekitar 90 peratus syarikat di Malaysia dan mereka terjejas terus ketika wabak tersebut dan mereka memerlukan suntikan dana untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka serta membolehkan mereka mengambil semula pekerja mereka yang telah diberhentikan atau mengambil pekerja baharu,” kata Russayani.

Menurutnya, kerajaan juga harus membuat pelaburan dalam kemudahan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar kerana rakyat Malaysia akan berhadapan dengan ketidaktentuan dan menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.

“Saya percaya bahwa keperluan untuk melengkapkan seluruh komuniti dengan infrastruktur teknologi maklumat (IT) adalah penting.

“Perkara yang sama untuk geran penyelidikan bagi penyakit berjangkit. Kita perlu meningkatkan usaha kita di bidang ini kerana ini akan menjadi cabaran kita pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Sukuk Prihatin merupakan inisiatif pendanaan awam.

“Dalam hal ini, kerajaan adalah pihak yang akan mengeluarkan instrumen hutang dan rakyat dapat menyertainya dengan melanggan sukuk tersebut.

“Bagaimanapun, maklumat mengenainya masih cetek buat masa ini, iaitu mengenai kadar kupon, tempoh dan kelayakan,” kata Afzanizam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )