Sultan Kedah titah laksana kajian berterusan bagi hasil benih padu

Sultan Kedah titah laksana kajian berterusan bagi hasil benih padu

ALOR SETAR,. Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya kajian berterusan menggunakan teknologi pertanian moden, khususnya dalam penghasilan benih padi, diteruskan.

Baginda menyarankan agar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mempertingkatkan kajian bagi tujuan tersebut.

“Sebagai usaha untuk memastikan keterjaminan bekalan beras negara, beta amat menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di kawasan jelapang padi. Namun, kawasan luar jelapang padi juga perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang terlibat agar pengeluaran padi dapat ditingkatkan,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Baginda juga bertitah bahawa penghasilan padi bergantung kepada sumber air dari kawasan hutan tadahan air yang turut menyokong keperluan domestik dan industri.

“Dalam hal ini, kerajaan beta perlu tegas untuk melindungi kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat di samping menjamin pengekalan pelbagai spesies flora dan fauna,” titah baginda.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )