PKKP pastikan pesara terima amaun pencen semasa – JPA

PKKP pastikan pesara terima amaun pencen semasa – JPA

PUTRAJAYA,. Bantuan khas Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) merupakan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, bagi memastikan pencen dan pencen terbitan yang diterima pesara tidak berkurangan, susulan keputusan mahkamah membatalkan penyelarasan kenaikan pencen tahunan dua peratus.

Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata PKKP, merupakan pembayaran khas bagi perbezaan amaun pencen semasa dengan pencen asal, untuk menjadikan amaun yang diterima pesara pada Julai hingga Disember 2023, sama seperti amaun pencen semasa.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah, selepas menolak rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan itu.

Mohd Shaiful berkata susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 itu, pegawai awam yang bersara sebelum 2013 bayaran pencennya dikembalikan kepada amaun pencen asal pada Disember 2012, manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013, bayaran pencennya dikembalikan kepada amaun pencen semasa bersara.

“Kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan dibayar dengan mengguna pakai amaun pencen asal dan ditambah dengan bantuan khas PKKP bagi Julai 2023 hingga Disember 2023,” katanya kepada media di sini semalam, serta menambah kerajaan akur dengan keputusan mahkamah tersebut.

“Sebagai contoh, sekiranya amaun pencen asal pesara pada Disember 2012 sebanyak RM1,413.49, namun dengan (pemberian) PKKP sebanyak RM343.94, pesara itu akan menerima RM1,757.43, iaitu jumlah sama yang diterima pada Jun 2023,” katanya.

Mohd Shaiful inisiatif PKKP itu dilaksanakan untuk mengharmonikan keperluan kerajaan dalam menjaga kebajikan pesara, selain menghargai sumbangan golongan berkenaan semasa dalam perkhidmatan.

Beliau juga berkata bantuan khas PKKP itu tidak memberi implikasi kepada kewangan negara, memandangkan jumlah itu telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

Mohd Shaiful berkata pesara juga tidak perlu membuat pembayaran balik kenaikan dua peratus yang telah diberikan mulai 2013, kerana keputusan mahkamah menyatakan kerajaan tidak boleh mengutip balik penyelarasan pencen tahunan dua peratus yang telah dibayar sebelum ini.

Ditanya sama ada PKKP itu akan diteruskan pada tahun hadapan, Mohd Shaiful berkata ia akan dikaji dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Bagi penyelarasan pencen seterusnya, kajian akan dilaksanakan bersekali dengan cadangan semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam bersama dengan Kementerian Kewangan, untuk melihat kesan kepada pesara,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir penyelarasan pencen dibuat ialah pada 2012 iaitu antara tujuh hingga 13 peratus mengikut gred, dan kemudiannya diselaraskan oleh kerajaan ketika itu dengan memberikan kenaikan tahunan dua peratus tanpa perlu menunggu pelaksanaan semakan gaji.

“Terdapat sejumlah 874,842 pesara setakat 31 Dis 2022,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)