
Suntikan mudah tunai RM7.4 bilion susulan penurunan SRR
KUALA LUMPUR,. United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB) hari ini mengunjurkan mudah tunai berjumlah RM7.4 bilion akan memasuki sistem perbankan susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 50 mata asas kepada 3.00 peratus berkuat kuasa 16 November ini.
Menurut UOB, setakat tahun ini, mudah tunai dalam sistem perbankan telah merosot sebanyak RM16.8 bilion kepada RM119.4 bilion pada akhir September berbanding RM136.2 bilion pada akhir 2018.
“Kos dana dan kadar asas (BR) bank dijangka akan dilaraskan lebih rendah seiring dengan penurunan SRR,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Pada masa ini, BR bank-bank komersial adalah pada 3.68 peratus.
Menurut UOB pertumbuhan pinjaman sistem perbankan juga telah menyederhana ke paras terendah iaitu 3.8 peratus pada September daripada 7.7 peratus pada akhir 2018 sejak data itu dikumpulkan pada Januari 2007.
“Pertumbuhan pembiayaan bersih juga susut di bawah lima peratus selama dua bulan berturut-turut iaitu 4.8 peratus pada September dan Oktober mencatat 4.9 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, nisbah pinjaman berbanding deposit adalah kukuh pada 88.4 peratus pada September berbanding 88.3 peratus setakat akhir 2018.
UOB turut menyifatkan penurunan SRR iaitu yang pertama sejak Januari 2016, dilakukan di tengah-tengah penyederhanaan mudah tunai domestik berikutan pertumbuhan bekalan wang secara meluas (M3).
Menurutnya, pertumbuhan itu mencecah 3.9 peratus bagi tahun ke tahun pada September – terendah dalam tempoh dua tahun, sebahagiannya disebabkan penyusutan aset bersih asing yang berkurangan kepada RM24.5 bilion pada Ogos-September.
“Langkah penurunan SRR adalah selepas aliran portfolio asing mencatatkan aliran keluar kumulatif sebanyak RM4.6 bilion pada Januari-Oktober 2019 akibat aliran keluar lebih ketara membabitkan ekuiti domestik,” katanya.
Menurut UOB, pemilikan asing terhadap ekuiti Malaysia juga susut ke paras terendah dalam tempoh dua setengah tahun iaitu 22.7 peratus daripada jumlah modal pasaran pada Oktober manakala pemilikan asing bagi bon kerajaan adalah sekitar 22.2 peratus pada Oktober berbanding 24 peratus bagi tempoh sama tahun lepas dan mencecah kemuncaknya pada 34.4 peratus pada Oktober 2016.
Sementara itu, AmInvestment Bank dalam nota penyelidikan berasingan menyifatkan penurunan SRR beserta langkah BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, turut membayangkan tindakan ‘bertahan’ Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang seterusnya mengurangkan tekanan pihak bank pusat serantau untuk terus menurunkan kadar faedah masing-masing.
Ini sekali gus meningkatkan sentimen terhadap saham-saham berkaitan perbankan yang disusuli dengan minat belian ketara sejak akhir-akhir ini.
Bank pelaburan itu turut mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor itu berikutan tarikannya dari segi penilaian dan pulangan dividen akibat harga saham yang lebih rendah.
— BERNAMA