Syarat EnterSarawak, saringan COVID-19 dimansuh

Syarat EnterSarawak, saringan COVID-19 dimansuh

KUCHING: Individu yang lengkap vaksin COVID-19 tidak lagi perlu membuat permohonan melalui EnterSarawak untuk kemasukan ke Sarawak dari negeri-negeri lain. Bagaimanapun menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mereka perlu mengisi borang pengisytiharan e-kesihatan (eHDF).

Bagi indvidu yang tidak lengkap divaksin pula, mereka wajib membuat permohonan melalui EnterSarawak dan mengisi eHDF untuk kemasukan dari negeri-negeri lain. Saringan COVID-19 juga tidak wajib bagi individu yang lengkap vaksin manakala bagi yang tidak lengkap vaksin wajib saringan COVID-19 tiga hari sebelum kemasukan ke Sarawak.

Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun perlu membuat saringan COVID-19 sekiranya memasuki Sarawak bersama ibu bapa atau penjaga yang tiada/tidak lengkap vaksin. “Untuk kemasukan individu dari luar negara pula mereka wajib membuat permohonan dalam EnterSarawak dan perlu mengisi eHDF.

“Saringan COVID-19 juga perlu dibuat tiga hari sebelum memasuki Malaysia dan perlu menjalani kuarantin tujuh hari dari tarikh kemasukan ke Malaysia bagi yang lengkap vaksin dan 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksin.

“Pengembara luar negara wajib melaporkan sejarah perjalanan kepada petugas di lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan menambah keputusan ini berkuatkuasa mulai 18 Oktober ini. Untuk maklumat lengkap berkenaan dengan proses kemasukan sila rujuk prosedur operasi standard (SOP) kemasukan ke negeri ini.

Jelas JPBNS lagi keputusan ini dibuat oleh JPBNS selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak bagi mempermudahkan urusan kemasukan ke Sarawak.

Namun, seperti yang telah dihuraikan oleh JPBNS dalam kenyataan media pada 13 Oktober 2021, tujuan polisi saringan sebelum kemasukan ke Sarawak selama ini adalah untuk mengurangkan risiko penularan dalam pesawat.

“Pada masa yang sama, kita tidak mahu menambahkan risiko penularan di komuniti kerana iniakan membebankan fasiliti kesihatan Sarawak. Dengan pemansuhan saringan bagi mereka yang lengkap vaksinasi sebelum kemasukan ke Sarawak, JPBNS berharap semua individu memainkan peranan dalam melindungi diri dan keluarga masing-masing,” ujarnya.

JPBNS juga sedia maklum bahawa sebanyak 77.3 peratus daripada kes baru harian yang dilaporkan di Sarawak pada bulan Oktober 2021 merupakan dewasa yang telah lengkap vaksinasi. Seramai 64.5 peratus kes kematian yang dilaporkan dalam bulan Oktober juga telah lengkap vaksinasi.

Ini bermakna walaupun vaksinasi adalah efektif dalam mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 serta kematian akibat COVID-19, jangkitan masih boleh berlaku dan risiko kematian tetap ada terutamanya bagi warga emas, mereka yang tidak layak menerima vaksin serta mereka yang mempunyai ko-morbid.

Dengan kelonggaran yang diberikan, risiko penyebaran di komuniti mungkin meningkat.

JPBNS amat menggalakkan semua individu menjalani saringan kendiri sebelum memasuki Sarawak, walaupun ianya bukan satu keperluan mandatori bagi mereka yang lengkap vaksinasi. Sekiranya mempunyai sebarang gejala sepanjang tempoh berada di Sarawak, jalanilah saringan sama ada menggunakan self-test kit ataupun membuat saringan di fasiliti kesihatan terdekat.

JPBNS juga menyeru semua individu di Sarawak agar sentiasa mematuhi SOP, termasuklah memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, mengamalkan penjarakan fizikal serta mempraktikkan amalan kebersihan diri.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )