Tarif Trump: Malaysia disaran tangguh hantar kumpulan perunding ke Washington

Tarif Trump: Malaysia disaran tangguh hantar kumpulan perunding ke Washington

KUALA LUMPUR,. Pakar geostrategi Prof Azmi Hassan berpandangan Malaysia perlu menangguhkan penghantaran kumpulan perunding mengenai tarif ke Washington dan pada masa sama perlu meneroka pasaran baharu selain Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkongsi pandangan itu menerusi catatan di Facebook hari ini susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu untuk menangguhkan tarif balas selama 90 hari ke atas lebih 75 negara rakan dagang termasuk Malaysia.

“…tangguh dulu pemergian kumpulan perunding Malaysia ke Washington. Dalam masa tiga bulan ini kita cari pasaran baharu. Pedulikan Amerika,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Pada Selasa, Bernama melaporkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington hujung bulan ini untuk membincangkan tarif balas yang dikenakan oleh AS ke atas Malaysia.

Tengku Zafrul berkata Malaysia komited memilih perbincangan secara baik dan membina di samping terus melindungi kepentingan negara dalam keadaan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat akibat pelaksanaan tarif yang diumumkan Trump pada 2 April.

Negara anggota Indo-china di rantau ASEAN antara paling teruk terjejas ekoran tarif itu dengan Kemboja pada 49 peratus, diikuti oleh Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia (32 peratus), Brunei dan Malaysia masing-masing pada 24 peratus, Filipina (17 peratus) manakala Singapura dikenakan tarif asas 10 peratus.

Bagaimanapun, Trump hari ini dilaporkan mengumumkan tarif itu ditangguhkan selama 90 hari kecuali ke atas China, untuk memberi ruang bagi rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.

Susulan pengumuman terbaru itu, pasaran saham global mengalami lonjakan.

Washington bagaimanapun akan tetap mengekalkan tarif asas 10 peratus ke atas kebanyakan negara selain meningkatkan tarif ke atas import China kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )