Tarikh Mediasi Saman Fitnah Tuan Ibrahim Terhadap Rafizi Ditetapkan 24 Mac

Tarikh Mediasi Saman Fitnah Tuan Ibrahim Terhadap Rafizi Ditetapkan 24 Mac

28 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 24 Mac sebagai tarikh untuk menyelesaikan saman fitnah yang difailkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Menteri Alam Sekitar, terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, melalui mediasi.

Menurut peguam yang mewakili Rafizi, Aina Syazwani Mansor, tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Aliza Sulaiman semasa pengurusan kes. Ia juga ditetapkan bagi mengumumkan hasil mediasi yang akan diadakan.

Proses mediasi bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang tanpa perlu melalui perbicaraan rasmi di mahkamah.

Rafizi tiba di mahkamah pada jam 10:05 pagi dengan mengenakan sut hitam, namun Tuan Ibrahim tidak hadir pada sesi tersebut.

Pada 17 November 2022, Tuan Ibrahim memfailkan writ saman serta pernyataan tuntutan terhadap Rafizi, selepas dakwaan Rafizi bahawa beliau meluluskan kontrak bernilai bilion ringgit kepada kroni pada tahun 2022.

Dalam saman tersebut, Tuan Ibrahim mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat oleh Rafizi dalam dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada tahun yang sama. Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid.

Rafizi telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi jawapan terhadap saman fitnah tersebut dan menafikan dakwaan berkenaan.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )