Teleport mulakan penghantaran ke pintu dalam tempoh 24 jam

Teleport mulakan penghantaran ke pintu dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Bermula hari ini, cabang logistik AirAsia Digital, Teleport akan menghantar bungkusan, pakej atau barangan merentasi bandar-bandar utama di Malaysia, dari pintu ke pintu dalam tempoh 24 jam.

“Teleport membawa sesuatu yang inovatif kepada sistem penghantaran yang sering dianggap perlahan atau membebankan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Pete Chareonwongsak dalam satu kenyataan mengenai produk penghantaran terbaharu AirAsia itu.

Misi Teleport adalah untuk menyampaikan perkhidmatan penghantaran ke rumah tempoh dalam 24 jam di mana sahaja di Asia Tenggara. Harga Teleport merangkumi keseluruhan proses bermula daripada pengambilan, angkut dan penyampaian.

“Selari dengan semangat AirAsia kami untuk memberi peluang kepada semua orang, kami juga menyediakan penghantaran bagi semua perniagaan tanpa mengambil kira saiz. Tidak kisah berapa jumlah beban, semua orang berhak mendapat harga kadar rata yang sama dan pengalaman penghantaran yang lancar.

“Kami berharap untuk terus menyokong perniagaan kecil dan sederhana berkembang dalam ekonomi digital yang berubah-ubah. Kami menjadikan keseluruhan proses menjadi lebih licin dan mudah difahami dengan harga bermula serendah RM6,” kata Chareonwongsak.

Menurutnya, komponen kritikal yang membolehkan penghantaran 24 jam terdiri daripada pesawat AirAsia dan pasukan rakan penyampaian komuniti Teleport.

“Kami amat berbangga dengan pasukan penghantar kami yang dianggap sebagai wira kerana mereka adalah orang yang anda temui semasa menerima pesanan anda, dan pengalaman pelanggan amat penting bagi kami.”

Teleport mempelawa semua perniagaan dan rakan penghantaran yang berminat untuk melawat laman http://www.teleport.asia atau daftar di https://www.teleport.asia/start-now.

Teleport diasaskan pada 2018 dan merupakan subsidiari AirAsia Digital bagi merealisasikan matlamat logistik dan kargo AirAsia.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This