
Tempoh Perkhidmatan Asyraf Wajdi Sebagai Pengerusi MARA Dilanjutkan Dua Tahun
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Datuk Asyraf Wajdi Dusuki akan terus menerajui Majlis Amanah Rakyat (MARA) selepas tempoh pelantikannya sebagai Pengerusi dilanjutkan selama dua tahun lagi, berkuat kuasa 1 Mac ini.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, beliau berkongsi bahawa watikah pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu majlis pagi tadi.
Ahmad Zahid menegaskan kepentingan MARA dalam memperkukuhkan pendidikan serta ekonomi masyarakat Melayu dan bumiputera, serta menekankan keperluan untuk terus memperkasakan institusi tersebut.
“Jawatan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu amanah besar yang perlu saya galas dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab. Saya berharap agar diberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas ini demi kepentingan bangsa dan agama,” kata Asyraf Wajdi.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO pertama kali dilantik sebagai Pengerusi MARA pada Mac 2023, menggantikan Datuk Azizah Mohd Dun.