Terima Kecaman Ramai, Program ‘Thai Hot Guy’ Dibatalkan

Terima Kecaman Ramai, Program ‘Thai Hot Guy’ Dibatalkan

KUALA LUMPUR – Selepas dikecam hebat susulan perancangannya menganjurkan acara hiburan menampilkan jejaka sasa berpakaian ‘seksi’, Thai Hot Guy pada 30 Mac ini, pengurusan Privacy Club Tun Razak tampil membuat permohonan maaf dan mengumumkan bahawa ia sudah dibatalkan.

Menerusi kenyataan, Privacy Club Tun Razak memaklumkan, pembatalan itu kerana pihaknya menghormati sensitiviti agama di negara ini. Ia juga menegaskan tidak akan melanggar undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sebagai maklum balas kepada isu yang tular dalam platform media sosial berkaitan pembukaan rasmi Privacy Club Tun Razak, kami memohon maaf dan memaklumkan penganjuran program tersebut yang akan menampilkan ‘Thai Hot Guy’ di hari perasmian pada 30 Mac dibatalkan.

“Privacy Club Tun Razak menghormati sensitiviti agama negara ini dan tidak akan melanggar undang-undang ditetapkan,” katanya. Menurutnya, semua sebaran media berkenaan program tersebut adalah tanpa persetujuan pihaknya, justeru ia memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan atas dasar menghormati sensitiviti kaum serta agama, program tersebut sudah dibatalkan,” ujarnya.

Terdahulu, Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya acara pembukaan kelab itu yang dijadual berlangsung pada jam 6 petang kerana didakwa mempromosikan aktiviti tidak bermoral. Ketua Pergerakannya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, justeru pihaknya membuat laporan polis hari ini.

Malah, katanya, Pemuda UMNO mendesak pihak penganjur membatalkan acara berkenaan. Dr Akmal berkata, semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik lain diseru bersatu hati untuk menentang perkara terkutuk itu.

Menerusi tangkap layar poster iklan terbabit yang tular di media sosial, ia memaparkan empat lelaki bertubuh sasa mengenakan pakaian menyerupai wanita dan mencolok mata. Kelmarin, sebuah akaun Facebook memuat naik hantaran mengenai acara itu yang mengajak orang ramai hadir.

Penganjuran acara itu turut dikecam Dewan Ulama PAS Pusat kerana mencemarkan kemurnian dan kemuliaan Ramadan.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, ia juga tidak sepatutnya dianjurkan dalam negara kerana menampilkan lelaki berpakaian wanita, sekali gus bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran diamalkan masyarakat Malaysia.

Menurutnya, kehadiran kumpulan terbabit adalah menjijikkan dan tidak senonoh. Ia juga mendorong ke arah mempromosi ideologi serta perlakuan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam negara.

Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, pihaknya sedang dalam proses mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap penganjur acara hiburan itu, sekiranya wujud pelanggaran peraturan dan syarat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, hasil siasatan awal DBKL mendapati, premis itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd. Katanya, bagaimanapun lesen restoran syarikat terbabit sudah tamat pada 4 Februari 2021.

“Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan,” katanya.

– Getaran, 22 Mac 2023

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )