Tiga pakej lawatan berpandu bakal semarak pelancongan domestik Kelantan

KOTA BHARU,. Tiga pakej lawatan berpandu iaitu ‘Kelantan Sightseeing Tour’, ‘Kelantan Panaromic Tour’ dan ‘Kelantan Saturday Fun’ yang akan dilancarkan pada 15 Sept ini, dijangka akan menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Kelantan.

Ketua Zon Timur Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Mimi Rodiah Abd Rahmat berkata, untuk tujuan itu seramai tujuh pemandu pelancong dilantik bagi memberi penerangan mengenai semua destinasi yang dilawat.

Menurut beliau, kesemua mereka yang dipilih daripada 21 pemandu pelancong berlesen di negeri itu berdasarkan kepada pengetahuan yang luas mengenai lokasi, mahir dalam pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris, selain fokus kepada bidang yang diceburi.

“Pakej yang bakal dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan Dan Pelancongan Negeri

Kelantan Datuk Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman pada 15 Sept itu, diharap mampu menjana pendapatan kepada penduduk di sini.

“Dalam masa sama, pakej ini turut membantu pemandu pelancong menjana pendapatan dan menyemarakkan lagi industri pelancongan domestik, khususnya di negeri ini yang suram akibat COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran pakej itu di sini, pada Khamis.

Mimi Rodiah berkata, pakej-pakej lawatan tersebut bertujuan menarik pelancong domestik untuk melancong melalui pakej beserta pemandu pelancong.

“Melalui pakej ini pelancongan akan lebih berkesan berikutan setiap lokasi yang dilawati akan mempunyai nilai penceritaan yang sangat menarik, yang tidak akan diperoleh jika melancong tanpa pemandu pelancong.

“Bayaran yang dikenakan ialah RM80 bagi dewasa dan RM40 bagi kanak-kan berusia antara empat hingga 11 tahun. Namun, bermula
hari ini hingga 31 Dis, kita sediakan promosi separuh harga untuk kedua-duanya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )