
Tiktok Peluaskan Hantaran Berasaskan Teks, Bunyi
Elemen terbaharu ini bertujuan untuk memperkembangkan kretiviti pemilik akaun TikTok untuk meningkatkan karya dan idea yang segar
TTikTok kini sudah boleh membuat hantaran berasaskan teks untuk pengguna berkongsi idea dan kreativiti mereka apabila platform itu meluaskan lagi format sedia ada. Platform yang terkenal dengan kandungan video pendek sebelum ini membenarkan penciptanya memuat naik foto, mengambil potongan bahagian dalam siaran langsung (live) dan membalas siaran pengguna lain melalui format Duet dan Stitch.
Menurut satu kenyataan TikTok, elemen terbaharu ini bertujuan untuk memperkembangkan kreativiti pemilik akaun Tiktok untuk meningkatkan karya dan idea yang segar.
“Dengan siaran teks ini, kami memperluaskan sempadan pencipta kandungan di TikTok untuk pengguna memberikan kreativiti dalam penulisan berbentuk ulasan atau kapsyen video supaya mereka ini lebih bersinar,” kata TikTok dalam satu kenyataan.
TikTok juga berkata bahawa ia merancang untuk menjadikan siaran teks yang dinamik atau interaktif seperti format kandungan video atau foto dengan membenarkan pengguna menyesuaikan hantaran mereka dengan tambahan bunyi atau lagu.
Ini membolehkan mereka menggunakan fungsi Duets dalam masa yang sama menukar font dan warna teks tersebut.
Selain itu, bunyi atau lagu adalah teras kepada hantaran di TikTok dan ini adalah salah satu faktor utama platform ini memperluaskan tetapan tersebut. Bahkan, ia memberikan pengalaman pengguna lain untuk membaca hantaran tersebut sambil melayani bunyi atau lagu yang dilampirkan.
Tambahan lagi, ketika TikTok mengembangkan pilihan atau tetapan pada bahagian bunyinya, baru-baru ini syarikat itu mengumumkan kerjasama dengan Warner Music Group (WMG). Ini bertujuan untuk perlesanan dan membenarkan penggunaan mengakses himpunan Warner Recorded Music dan Warner Chappell Music di TikTok.
“Kami gembira dan teruja untuk kerjasama seterusnya TikTok. Melalui perkongsian yang diperluas dan dipertingkatkan kedua-dua entiti ini, kami boleh bersama-sama memberikan nilai yang lebih besar kepada artis dan penulis lagu WMG serta pengguna TikTok,” kata Ketua Pegawai Eksekutif WMG, Robert Kyncl.
Malah, syarikat teknologi ByteDance turut melancarkan TikTok Music di Australia, Mexico dan Singapura untuk memberikan perkhidmatan penstriman muzik yang menampilkan senarai lebih 1,000 artis dengan jutaan lagu disediakan.
Jadi kepada pengguna media sosial Tiktok, bersedia untuk muat turun aplikasi TikTok Music yang akan ditawarkan melalui Apple App Store atau Google Play Store. Sebagai permulaan, pengguna boleh melawati music.tiktok.com terlebih dahulu dan dapatkan tempoh percubaan tiga bulan untuk untuk merasai keseronokan ciri terbaharu ini.- Getaran, 4 Ogos 2023
Sumber/Foto: Tiktok