IPOH,. Jumlah pesakit strok yang menerima rawatan trombolisis di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh
IPOH,. Jumlah pesakit strok yang menerima rawatan trombolisis di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh dua tahun, daripada 25 kes pada 2023 kepada 104 kes tahun lepas.
Pada 2024, sebanyak 78 kes direkodkan, manakala sehingga Jun tahun ini, 58 pesakit telah menerima rawatan berkenaan, mencerminkan usaha hospital itu memperkukuh laluan pengurusan strok secara pantas dan terselaras.
Pakar Perubatan Neurologi HRPB Dr Tan Hui Jieh berkata kepantasan mendapatkan rawatan amat penting kerana pesakit yang sesuai perlu menerima trombolisis dalam tempoh kritikal sekitar empat jam setengah selepas simptom strok bermula, selaras dengan prinsip Time Is Brain.
“Walaupun kerosakan otak akibat strok boleh berlaku dengan pantas, rawatan awal dapat membantu meminimumkan kerosakan dan meningkatkan peluang pesakit untuk kembali berdikari,” katanya semasa Program Kembara Kesihatan Bersama Media anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.
Beliau berkata HRPB menerima secara purata 80 hingga 100 pesakit strok sebulan, dengan kira-kira 80 peratus daripadanya merupakan strok iskemia akibat salur darah tersumbat, manakala selebihnya strok hemoragik akibat salur darah pecah.
Menurut Dr Tan, daripada keseluruhan pesakit strok, kira-kira 10 peratus menerima rawatan trombolisis berdasarkan kesesuaian klinikal dan kriteria ditetapkan, manakala hampir 40 peratus pesakit mampu kembali berdikari selepas tiga bulan.
Katanya, berdasarkan National Stroke Registry 2024, purata umur pesakit strok di negara ini ialah sekitar 60.6 tahun, namun terdapat kecenderungan peningkatan kes dalam kalangan individu berusia bawah 60 tahun, dengan 13 peratus pesakit strok bawah 45 tahun.
“Antara faktor risiko utama strok ialah tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, merokok, masalah jantung dan obesiti, selain faktor lain seperti apnea tidur obstruktif (OSA), iaitu gangguan pernafasan ketika tidur akibat saluran udara tersumbat.
“Kira-kira 30 pesakit setakat ini telah dihantar ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan mechanical thrombectomy, iaitu prosedur untuk mengeluarkan darah beku bagi pesakit yang mengalami sumbatan salur darah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HRPB Dr Fakhruddin Amran berkata hospital berkenaan merupakan hospital rujukan utama di Perak yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih sejuta pesakit di seluruh Perak serta beberapa kawasan di Sabak Bernam, Selangor dan Cameron Highlands, Pahang.
Beliau berkata HRPB mempunyai kira-kira 5,000 hingga 5,500 kakitangan, dengan 1,173 katil serta menyediakan perkhidmatan merangkumi 22 kepakaran dan 68 subkepakaran.
Dalam pada itu, Ketua Jururawat HRPB Azlina Ghazali yang pernah mengalami strok kira-kira lapan tahun lepas, berkongsi pengalaman sebagai bukti pentingnya mendapatkan rawatan segera apabila mengalami simptom penyakit itu.
Ketika bangun daripada tidur, beliau mendapati tangan kirinya tidak dapat diangkat selain menghadapi kesukaran melakukan aktiviti harian seperti menggosok gigi, mengikat rambut dan memakai pakaian.
“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang kedua. Dengan rawatan yang cepat, ubat serta fisioterapi, saya dapat pulih sedikit demi sedikit dan sehingga kini masih menjalani rawatan susulan,” katanya.
Azlina menasihati orang ramai supaya tidak mengambil mudah sebarang simptom strok dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti kelemahan anggota badan atau perubahan pada wajah.
— BERNAMA

