Tourism Malaysia Optimis TMM2026 Capai Sasaran 35.6 Juta Pelancong

Tourism Malaysia Optimis TMM2026 Capai Sasaran 35.6 Juta Pelancong

SEPANG: Tourism Malaysia optimis kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) akan berjaya menarik lebih 35.6 juta pelancong, yang dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, berkata kempen yang bermula pada 1 Januari 2026 itu membuka peluang untuk Malaysia menonjolkan keunikan budaya, keindahan alam semula jadi, serta kemudahan pelancongan yang ada.

“Kempen ini akan mendorong pemain industri pelancongan untuk memperkukuh persiapan dari segi infrastruktur, pakej pelancongan, dan kemudahan lain, bagi menarik bukan sahaja pelancong antarabangsa tetapi juga rakyat Malaysia sendiri,” katanya selepas majlis pelancaran TMM2026 di Kompleks Kejuruteraan MAB semalam.

Manoharan menambah, antara strategi utama kempen ini adalah fokus kepada pasaran pelancong utama seperti China, India, Timur Tengah, dan ASEAN, yang mempunyai lebih 3,100 penerbangan terus ke Malaysia. Keadaan ini memberi kelebihan kepada Malaysia untuk memasarkan dirinya sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

TMM2026 juga akan mempromosikan pelancongan berasaskan pengalaman, dengan menawarkan pakej yang lebih menarik, termasuk peluang untuk pelancong merasai keunikan budaya Malaysia, serta berinteraksi dengan penduduk tempatan dalam pengalaman seperti kulinari dan inap desa.

“Kami juga mahu menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara, kerana masih banyak destinasi yang belum diterokai,” tambah beliau. Tourism Malaysia berusaha untuk memperkuat kerjasama dengan pengusaha pelancongan dan pemilik tarikan untuk merancakkan pelancongan domestik.

Manoharan percaya bahawa kempen ini juga akan memperkukuhkan jenama Malaysia Truly Asia yang sudah dikenali dunia sejak tahun 1998.

“Apabila Malaysia disebut di luar negara, jenama Truly Asia selalu dikaitkan dengan negara kita. Dengan tema ‘Surreal Experience’, kami berharap dapat memberi gambaran pengalaman unik yang tidak terlupakan,” jelasnya.

Selain itu, beliau menekankan bahawa kejayaan kempen ini memerlukan kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan, termasuk industri pelancongan, syarikat penerbangan, hotel, dan media.

“Kami mahu mereka menjadi rakan strategik dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Kempen TMM2026 dilancarkan secara rasmi dengan memperkenalkan logo baharu, maskot, lagu tema, serta corak yang akan dipaparkan pada pesawat. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam majlis itu turut mengumumkan bahawa kempen ini dijangka membawa pendapatan sebanyak RM147.1 bilion dan mencapai sasaran kedatangan lebih 35.6 juta pelancong.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )