Unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia 4.0 peratus munasabah – Penyelidikan

Unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia 4.0 peratus munasabah – Penyelidikan

KUALA LUMPUR,. Moody’s Analytics berpandangan unjuran pertumbuhan empat peratus bagi Malaysia untuk tahun ini adalah munasabah bagi negara-negara di rantau ini walaupun angka itu akan berada pada kadar terendah dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia.

Bank pusat itu mengunjurkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan, hampir kepada kadar terendah dalam julat unjuran pertumbuhannya iaitu di antara 4.0 peratus dengan 5.0 peratus.

Menerusi sorotan mingguannya pada Isnin, firma analisis dan penyelidikan itu menjelaskan pasaran buruh yang berdaya tahan dan peningkatan ketibaan pelancongan akan meningkatkan perbelanjaan.

Firma itu juga yakin kekukuhan pasaran domestik akan dapat mengimbangi sebahagian pertumbuhan global yang semakin lembap sekali gus dijangka mempengaruhi permintaan eksport.

Moody’s Analytics memaklumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 Malaysia sebanyak 2.9 peratus itu adalah menepati jangkaannya.

Walaupun eksport dan import masing-masing susut lebih daripada sembilan peratus, ketibaan pelancong telah menampung sedikit penurunan dalam perdagangan.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd pula mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK setahun penuh 2023 sebanyak 4.3 peratus.

“Meskipun sokongan daripada pemulihan pelancongan dijangkakan, dengan mengambil kira pertumbuhan 4.2 peratus bagi separuh pertama tahun ini, kesan asas tinggi mempengaruhi KDNK suku ketiga dan keempat, ditambah dengan kesan besar iklim ekonomi global yang lebih perlahan ke atas perdagangan luar, kami menyedari wujudnya potensi untuk semakan turun bagi unjuran kami,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, risiko penurunan ketara berpunca daripada landskap global, merangkumi turun naik ketara trajektori ekonomi maju, aktiviti ekonomi di China yang semakin lembap, ketegangan geopolitik yang memuncak, inflasi yang tidak dijangkakan, dan bayangan pengetatan pasaran kewangan yang ketat — mungkin ditambah lagi dengan tanda-tanda ketegangan sektor perbankan yang meningkat — boleh memberikan tekanan tambahan terhadap permintaan luar.

Di peringkat domestik, beberapa bulan kebelakangan ini telah menyaksikan petunjuk penting termasuk Indeks Pengeluaran Perindustrian, pengeluaran minyak sawit mentah dan Indeks Perdagangan Pengedaran yang menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan seterusnya.

Kenanga Investment Bank Bhd pula menjelaskan ekonomi dijangka kembali kepada pengembangan sederhana pada separuh kedua tahun ini, disokong daya tahan permintaan domestik memandangkan pasaran buruh kekal kukuh.

Dalam melangkah ke 2024, bank pelaburan itu menjangkakan trajektori pertumbuhan KDNK yang lebih teguh sebanyak 4.9 peratus, dipacu oleh pemulihan ekonomi global yang lebih mampan tahun depan, terutama di China, yang dijangka memacu permintaan luar yang lebih tinggi.

“Komitmen kerajaan terhadap inisiatif propertumbuhan dijangka berterusan, dan kestabilan politik menjadi lebih kukuh susulan pilihan raya negeri boleh meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing, yang berpotensi membawa kepada aliran masuk modal dan pelaburan portfolio yang lebih besar.

“Walaupun unjuran pertumbuhan global mungkin lebih berdaya tahan, memandangkan bank-bank pusat utama mungkin cenderung kepada penurunan kadar faedah namun, risiko penurunan yang berlarutan berterusan. Ini berpunca daripada isu geopolitik yang berpanjangan seperti konflik Rusia-Ukraine serta hubungan tegang antara Amerika Syairkat, China dan Taiwan,” menurutnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)