Wanita ditahan jadikan rumah stor simpan barangan kawalan

Wanita ditahan jadikan rumah stor simpan barangan kawalan

KOTA BHARU,. Tindakan seorang wanita menyimpan 527 kilogram (kg) minyak masak, 50 kg tepung gandum dan 48 kg gula pasir di sebuah rumah di Kampung Ketil, Tumpat mengundang padah apabila diserbu sepasukan anggota penguat kuasa malam tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata hasil maklumat yang diterima daripada orang awam, rumah itu dijadikan stor transit barang kawalan berkenaan bagi aktiviti penyeludupan.

Beliau berkata intipan dilakukan bermula pukul 6 petang semalam oleh empat pegawai PKPDNHEP Kelantan dan lima anggota Pasukan Polis Marin (PPM).

“Hasil pemantauan dan risikan mendapati barang kawalan tersebut akan dibawa ke negara jiran melalui jalan sungai pada waktu malam.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah tersebut pada pukul 9.30 malam tadi telah menemukan minyak masak, tepung gandum dan gula bernilai RM1,521.80 yang disimpan di ruang tamu rumah. Wanita berumur 31 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azanizam berkata kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen yang sah, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki berlaku sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan.

“PKPDNHEP Kelantan dengan kerjasama agensi sempadan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penyeludupan barang kawalan ke negara jiran dapat dibanteras,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )