KUALA TERENGGANU,. Waris tiga pekerja yang terkorban dalam tragedi pelantar minyak di Sepat, Kuala Terengganu, layak menerima faedah daripada Pertubuh
KUALA TERENGGANU,. Waris tiga pekerja yang terkorban dalam tragedi pelantar minyak di Sepat, Kuala Terengganu, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, hasil semakan yang dilakukan oleh Skuad PERKESO Prihatin mendapati kesemua mangsa mempunyai rekod caruman aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (LINDUNG Pekerja).
“Berdasarkan semakan, keluarga Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) hasil caruman arwah.
“Balu arwah, Siti, layak menerima bayaran bulanan FOT sepanjang hayat, manakala anak tunggal mereka yang berusia 10 tahun akan menerima faedah itu sehingga mencapai usia 21 tahun atau menamatkan pengajian ijazah pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramanan berkata, keluarga itu akan menerima bayaran FOT bulanan keseluruhan sebanyak RM5,355 selain FPM secara sekali bayar sebanyak RM3,000.
Beliau berkata, balu dan anak kepada Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam turut layak menerima faedah yang sama.
Menurutnya, balu arwah, Khairinia, yang kini hamil tujuh bulan bersama anaknya yang berusia setahun tujuh bulan akan menerima bayaran bulanan FOT sebanyak RM3,105.
Balu arwah akan menerima faedah itu sepanjang hayat, manakala anaknya akan terus menerima bayaran sehingga berusia 21 tahun atau selepas menamatkan pengajian ijazah pertama.
“Selain itu, mereka turut menerima FPM secara sekali bayar sebanyak RM3,000 bagi membantu menampung kos pengurusan pengebumian,” katanya.
Sementara itu, semakan lanjut melibatkan Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid mendapati arwah merupakan yatim piatu dan belum berkahwin.
Ramanan menjelaskan, memandangkan kesemua tujuh adik-beradik arwah telah melepasi had umur kelayakan untuk menerima faedah bulanan, pembayaran FPM secara sekali bayar sebanyak RM3,000 akan disalurkan kepada abang kandung arwah selaku waris terdekat bagi membantu urusan pengebumian.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PERKESO turut memantau keadaan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam tragedi itu, Muhammad Taufik Mohd Ruslan, 37, yang kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami kecederaan parah.
“Pada masa ini, Muhammad Taufik layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh beliau menerima rawatan, dengan jumlah akhir faedah akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“PERKESO kini berada di peringkat akhir mendapatkan pengesahan rasmi daripada majikan serta melengkapkan dokumentasi melibatkan waris bagi memastikan semua pembayaran faedah dapat disalurkan secepat mungkin.
“KESUMA dan PERKESO merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap penyaluran faedah ini dapat menjadi talian hayat kepada waris yang kehilangan tempat bergantung,” katanya.

