
Zahid Dapat Kebenaran Untuk Mulakan Prosiding Menghina Mahkamah Terhadap Tun Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini telah memberi kebenaran kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tindakan ini berkaitan dengan sidang akhbar yang diadakan oleh Dr Mahathir pada 5 Disember lalu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Dalam sidang tersebut, Dr Mahathir telah menunjukkan beberapa salinan dokumen, termasuk kad pengenalan, selepas memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Ahmad Zahid berkaitan isu “kutty”.
Peguam Ahmad Zahid, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, berkata mahkamah telah membenarkan permohonan anak guamnya untuk memulakan prosiding komital selepas mendengar permohonan ex-parte yang difailkan oleh Presiden UMNO itu. Prosiding tersebut berlangsung di dalam kamar bersama Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Dr Mahathir, yang berusia 99 tahun, telah selesai memberi keterangan sebagai plaintif pada 5 Disember lalu. Anak beliau, Datuk Seri Mukhriz, menjadi saksi terakhir pada 9 Disember. Ahmad Zahid dijadualkan memberi keterangan sebagai saksi defendan pada 14 Mei depan.
Melalui saman yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya mengenai isu “kutty” pada mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017. Kenyataan tersebut kemudian disebarkan semula melalui YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian yang dapat diakses tanpa sekatan.