ZETRIX AI BERPOTENSI LANGGAR SYARAT SUKUK SUSULAN WONG HILANG STATUS PEMEGANG SAHAM TERBESAR

HomeFeaturedBusiness

ZETRIX AI BERPOTENSI LANGGAR SYARAT SUKUK SUSULAN WONG HILANG STATUS PEMEGANG SAHAM TERBESAR

KUALA LUMPUR,. Zetrix AI Bhd berpotensi melanggar syarat perjanjian di bawah Program Sukuk Wakalah susulan pengurangan ketara pegangan saham Wong The

Bank Islam lantik Raja Teh Maimunah sebagai CEO kumpulan
Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS
Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Zetrix AI Bhd berpotensi melanggar syarat perjanjian di bawah Program Sukuk Wakalah susulan pengurangan ketara pegangan saham Wong Thean Soon semalam, sekali gus menyebabkan beliau bukan lagi pemegang saham terbesar syarikat itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata jumlah pegangan saham langsung dan tidak langsung Wong, yang juga pengasas bersama syarikat berkenaan, susut kepada 1.895 peratus setakat semalam.

“Sehubungan itu, syarikat berpotensi melanggar syarat perjanjian di bawah Program Sukuk Wakalah, yang mewajibkan Wong kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Menurut terma Program Sukuk Wakalah, syarikat dikehendaki memperbetulkan pelanggaran tersebut dalam tempoh tujuh hari selepas menyedari kegagalan memenuhi syarat berkenaan,” menurut Zetrix AI.

Syarikat itu perlu memulihkan pelanggaran berkenaan selewat-lewatnya pada 22 Okt 2026.

Sekiranya gagal berbuat demikian, syarikat akan mendapatkan persetujuan serta arahan atau panduan daripada pemegang sukuk menerusi resolusi luar biasa.

“Syarikat kini sedang berbincang dengan pemegang amanah sukuk dan akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan penting,” menurutnya.

Pada 9 Julai 2025, Zetrix AI meningkatkan nilai nominal Program Sukuk Wakalah kepada RM2 bilion daripada RM1 bilion sebelum ini.

Semalam, syarikat yang dahulunya dikenali sebagai MyEG Services Bhd itu berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan siasatan berhubung dakwaan kiriman wang berjumlah RM230.9 juta yang melibatkan kutipan hasil kerajaan oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI.

Pada 9.19 pagi, dagangan saham syarikat itu digantung, manakala sahamnya susut setengah sen kepada enam sen dengan 7.60 juta unit diniagakan.

Dagangan saham itu disambung semula pada 10.19 pagi ini.

— BERNAMA