ALOR SETAR,. Sebanyak 43 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam operasi penguatkuasaan selama dua hari di 17 lokasi sekitar
ALOR SETAR,. Sebanyak 43 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam operasi penguatkuasaan selama dua hari di 17 lokasi sekitar pulau peranginan itu, baru-baru ini.
Operasi pada 28 dan 29 Sept, turut membongkar penggunaan dokumen disyaki palsu, apabila dua pemegang Kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan dua pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), dikesan memiliki dokumen berkenaan.
JIM Kedah dalam kenyataan memaklumkan operasi itu dilaksanakan Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan dengan kekuatan 21 pegawai menerusi Ops Selera, Ops Dandan, Ops Sapu, Ops Kutip dan Ops Belanja.
Sebanyak 95 individu diperiksa dalam operasi yang menyasarkan beberapa kawasan tumpuan termasuk Jalan Pantai Cenang, Taman Indah Fasa 3, Padang Matsirat, Kedawang, Pantai Cenang dan Kuah.
“Pemeriksaan melibatkan pelbagai premis termasuk kedai runcit, resort, kedai perkakasan, tapak pembinaan, restoran, bistro dan kedai gunting rambut,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Daripada jumlah yang diperiksa, 43 warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk tindakan lanjut.
Kesemua mereka berusia antara 18 dan 56 tahun, terdiri daripada 38 lelaki dan lima wanita, iaitu 17 warga Bangladesh, masing-masing 11 warga Myanmar dan Indonesia, dua warga Pakistan serta masing-masing seorang warga India dan Mesir.
Selain itu, sebanyak dua Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.
Kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Belantik di Sik untuk tindakan lanjut, manakala dokumen yang disyaki palsu dirampas bagi tujuan siasatan.
— BERNAMA

