60 pelajar peroleh manfaat di bawah Program Biasiswa RHB X-Cel Star

60 pelajar peroleh manfaat di bawah Program Biasiswa RHB X-Cel Star

KUALA LUMPUR,. Kira-Kira 60 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah B40 menerima manfaat di bawah Program Biasiswa RHB X-Cel Star, satu inisiatif Yayasan Kumpulan Perbankan RHB (Yayasan RHB) yang menyediakan bantuan kewangan dan sokongan sepanjang tempoh mereka berada di institusi pengajian tinggi tempatan.

Pengerusi Yayasan RHB Datuk Khairussaleh Ramli berkata yayasan itu telah memperuntukkan sehingga RM4.2 juta kepada pelajar yang layak bagi tempoh lima tahun sehingga 2023, yang akan membolehkan mereka berkembang sebagai seorang individu serba boleh dan pemimpin masa depan.

Khairussaleh, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, berkata pada tahun ini, sebanyak 11 pelajar baharu dipilih sebagai kumpulan kedua penerima Biasiswa RHB X-Cel Star dan mereka akan menjalani sesi pembinaan keupayaan seperti kemahiran pembentangan dan komunikasi, kursus Bahasa Inggeris, latihan kepimpinan serta program mentor-mentee.

“Bagi kumpulan kedua ini, kami menerima 36 permohonan. Selepas mengadakan sesi temu ramah dan proses pemilihan, kami telah memilih 11 pelajar. Kami sudah memulakan proses ini sebagai sebahagian program di sekolah menengah (Kecemerlangan Akademik RHB X-Cel),” katanya semasa majlis penganugerahan Program Biasiswa RHB X-Cel Star yang berlangsung secara maya menerusi Zoom Meeting hari ini.

Sebelum ini, kumpulan pertama 10 pelajar yang menerima biasiswa itu pada 2019 telah menamatkan pengajian mereka di peringkat asas atau matrikulasi dengan skor Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melebihi 3.0 dengan lapan memperoleh CGPA melebihi 3.5 manakala seorang mendapat 4.00 atau 4 flat.

Biasiswa RHB X-Cel Star adalah lanjutan Program Kecemerlangan Akademik RHB X-Cel lebih meluas yang menyediakan program pendidikan secara tersusun serta holistik dalam perkembangan pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada keluarga dengan latar belakang B40 untuk mengikuti pengajian di peringkat tertiari.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )