9 maut selepas taufan Phanfone badai Filipina

9 maut selepas taufan Phanfone badai Filipina

MANILA,. Taufan Phanfone telah membadai Filipina tengah dengan hujan lebat serta angin kencang mulai Selasa dan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang maut, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyatan sebuah agensi kerajaan pada Khamis.

Menurut Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina (DILG), taufan itu meragut enam nyawa di wilayah Iloilo, dua di wilayah Capiz dan satu di wilayah Leyte.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC) tidak memiliki angka kematian berkaitan taufan setakat ini.

Bagaimanapun, ia menyebut taufan itu telah menjejaskan hampir 2,400 orang di 38 kampung di wilayah Filipina tengah dan utara Mindanao.

NDRRMC turut melaporkan bahawa lebih 100 penerbangan domestik dan antarabangsa terpaksa dibatalkan susulan taufan itu.

Selain itu, ia menyebut bahawa hampir 16,000 orang yang melakukan perjalanan melalui laut, hampir 1,400 kargo dan 41 feri terkandas akibat taufan tersebut.

Taufan Phanfone mendarat di wilayah Samar Timur pada Selasa tengah hari.

Bagaimanapun, sebelum taufan itu mendarat, pihak berkuasa tempatan bertindak memindahkan penduduk di kawasan berisiko ke fasiliti kerajaan yang lebih selamat.

Phanfone adalah taufan ke-21 yang membadai Filipina tahun ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )