Harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi pada suku keempat 2026

HomeFeaturedBusiness

Harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi pada suku keempat 2026

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi pada suku keempat 2026, diniagakan antara US$95 dan US$100 setong menjelang akhir tahun,

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini
HARGA MINYAK MENTAH BRENT DIJANGKA US$80 HINGGA US$95 SETONG PADA 2027 – PENGANALISIS

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi pada suku keempat 2026, diniagakan antara US$95 dan US$100 setong menjelang akhir tahun, disokong oleh gangguan berterusan di Selat Hormuz, peningkatan risiko di Selat Bab el-Mandeb dan kekangan eksport dari Asia Barat, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) hari ini.

HLIB mengekalkan unjuran harga US$75 setong bagi 2027 dan menyatakan bahawa pilihan laluan alternatif juga semakin terhad, dengan gangguan pada Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi serta trafik yang perlahan di Laut Merah mengehadkan keupayaan untuk melencongkan penghantaran minyak mentah.

“Pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) yang akan datang boleh menambah ketidaktentuan kepada harga Brent. Oleh itu, kami menaikkan unjuran harga Brent bagi 2026 kepada US$90 setong daripada US$80, serta mengekalkan paras US$75 setong bagi tahun 2027,” menurut bank itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent melonjak 2.93 peratus kepada US$107.70 setong, selepas Arab Saudi menutup saluran paip Timur-Barat susulan serangan dron terhadap kemudahan tersebut.

Harga Brent melonjak melepasi paras US$100 setong pada 10 September, selepas ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan serentak di Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb.

Hujung minggu lepas, Arab Saudi melaporkan bahawa saluran paip Timur-Barat sepanjang 1,200 km miliknya yang merupakan laluan alternatif penting untuk mengelak Selat Hormuz telah ditutup sementara susulan serangan dron dilaporkan dilancarkan dari Iraq.

Saluran paip itu mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak tujuh juta tong sehari; daripadanya, lima juta tong sehari diperuntukkan untuk eksport manakala dua juta tong sehari membekalkan kilang penapisan domestik.

“Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan baharu mengenai laluan alternatif Selat Hormuz yang melalui Laut Merah dan Bab el-Mandeb. Eksport dari Yanbu merosot ke paras terendah dalam tempoh enam bulan iaitu 1.43 juta tong sehari, berbanding 3.9 juta tong sehari dalam tempoh tiga bulan sebelumnya,” menurut HLIB.

Defisit minyak global meningkat dengan ketara kepada 4.1 juta tong sehari pada Ogos 2026, berbanding hanya 0.1 juta tong sehari pada Julai 2026, defisit itu dijangka menokok kepada 4.8 juta tong sehari pada September 2026, didorong oleh gangguan bekalan di Asia Barat, dengan pengeluaran serantau merosot sebanyak 7.8 peratus secara bulan ke bulan.

Menurut HLIB, peningkatan pengeluaran Kazakhstan (+10 peratus bulan ke bulan ) dan AS (+0.4 peratus bulan ke bulan) telah mengimbangi keadaan ini sebahagiannya.

“Satu lagi data membimbangkan ialah jumlah pengeluaran minyak mentah yang dihentikan di Asia Barat meningkat kepada 6.7 juta tong sehari pada Ogos 2026 daripada 5 juta tong sehari pada Julai 2026; ini mencerminkan kekangan berterusan terhadap eksport serantau serta kerosakan pada infrastruktur tenaga,” menurut kenyataan itu.

HLIB memaklumkan bahawa ia berpendapat bahawa China telah menyesuaikan diri dengan gangguan di Selat Hormuz menerusi kepelbagaian sumber bekalan, termasuk meningkatkan pembelian minyak mentah dari Rusia.

Bekalan melalui perairan negara itu melonjak kepada 1.68 juta tong sehari pada Ogos, 2026 berbanding 1.40 juta tong sehari pada Julai, 2026.

— BERNAMA