HARGA MINYAK MENTAH BRENT DIJANGKA US$80 HINGGA US$95 SETONG PADA 2027 – PENGANALISIS

HomeFeaturedBusiness

HARGA MINYAK MENTAH BRENT DIJANGKA US$80 HINGGA US$95 SETONG PADA 2027 – PENGANALISIS

KUALA LUMPUR,. Harga minyak mentah Brent dijangka antara US$80 hingga US$95 setong pada 2027 dengan andaian eksport minyak Asia Barat dipulihkan secar

Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan
Malaysia perlu luaskan asas cukai, tingkatkan penyasaran subsidi hadapi kejutan ekonomi – IMF
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 35 sen

KUALA LUMPUR,. Harga minyak mentah Brent dijangka antara US$80 hingga US$95 setong pada 2027 dengan andaian eksport minyak Asia Barat dipulihkan secara berperingkat dan penawaran global pulih pada kadar yang mengatasi pertumbuhan permintaan, menurut penganalisis.

Unjuran itu selaras dengan anggaran kerajaan bahawa harga minyak mentah Brent akan mencatatkan purata yang tinggi iaitu pada US$85 setong di bawah Belanjawan 2027, tidak berubah berbanding 2026.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes mengunjurkan harga minyak mentah Brent mencatatkan purata sekitar US$85 hingga US$95 setong pada 2027 dengan mengunjurkan julat dagangan yang agak luas sepanjang tempoh berkenaan.

“Pasaran masih mengambil kira premium risiko geopolitik yang ketara meskipun eksport minyak mentah Asia Barat kembali pulih.

“Kapal tangki beroperasi, namun kos untuk mengendalikan tong-tong minyak tersebut kekal sangat tinggi dengan kos tambang dan insurans mencerminkan rantau yang masih jauh daripada keadaan normal,” katanya kepada Bernama.

Innes menambah bahawa pada purata harga yang diunjurkan itu, Malaysia dijangka terus menerima sokongan ketara daripada hasil petroleum, namun ia tidak secara automatik membawa kepada lebihan hasil fiskal.

Beliau berkata harga Brent yang lebih tinggi menyokong hasil berkaitan petroleum dan pendapatan daripada aktiviti huluan industri minyak dan gas sekali gus membantu kedudukan fiskal kerajaan.

Bagaimanapun, kata Innes, kos produk petroleum bertapis yang lebih tinggi khususnya diesel boleh menghakis manfaat berkenaan dengan cepat menerusi subsidi bahan api dan peningkatan kos pengangkutan.

“Kerajaan telah memperuntukkan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada 2027 yang menunjukkan betapa besarnya beban kos tenaga ketika ini.

“Apa yang membimbangkan saya ialah kemungkinan harga Brent mula menurun sedangkan harga diesel kekal luar biasa tinggi. Dalam keadaan sedemikian, hasil petroleum mungkin merosot manakala perbelanjaan subsidi kekal tinggi,” katanya.

Innes memberitahu keadaan ini menyukarkan usaha mengurangkan defisit fiskal tanpa menjejaskan perbelanjaan isi rumah atau pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Beliau turut mengunjurkan premium harga minyak akan beransur-ansur menyusut sepanjang 2027, khususnya jika aliran eksport kekal stabil dan inventori kembali meningkat, namun beliau tidak menjangkakan harga minyak akan terus menurun secara konsisten.

Innes menegaskan bahawa persoalan sebenar ialah sama ada pasaran minyak akan beralih daripada masalah penawaran kepada masalah permintaan.

“Kos tenaga yang tinggi sudah pun membebankan penggunaan global dan jika kitaran pelaburan yang lebih luas, khususnya perbelanjaan modal dalam kecerdasan buatan (AI) mula kehilangan momentum, kita mungkin berdepan dengan persekitaran permintaan yang jauh lebih lemah menjelang separuh kedua tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, risiko kenaikan harga yang paling besar kekal berpunca daripada satu lagi peningkatan serius dalam konflik di Asia Barat, khususnya serangan baharu terhadap infrastruktur pengeluaran atau perkapalan.

Dalam senario sedemikian, Innes tidak menolak kemungkinan harga minyak mentah Brent kembali melepasi US$110 hingga US$120 setong terutamanya mengambil kira paras inventori global yang semakin susut.

“Namun, saya berpendapat risiko penurunan harga juga wajar diberi perhatian yang sama.

“Jika ketegangan geopolitik reda, kos pengangkutan laut dan insurans kembali normal serta pengeluaran minyak Asia Barat pulih lebih pantas daripada jangkaan, harga Brent boleh turun dengan mudah ke paras US$70 hingga US$75 setong, khususnya jika permintaan global terus melemah,” katanya.

Menurut Innes, pasaran mungkin terperangkap dalam ketidaksediaan sekiranya jangkaan tersebut terbukti tersasar memandangkan perhatian masih tertumpu pada potensi kejutan bekalan sedangkan harga tenaga yang tinggi sudah pun membebankan ekonomi global.

Beliau memaklumkan kemungkinan kelembapan dalam lonjakan perbelanjaan modal AI boleh terus memburukkan permintaan tenaga global.

“Kebimbangan saya adalah menjelang separuh kedua 2027, kita mungkin tidak lagi banyak membincangkan tentang kekurangan bekalan geopolitik sebaliknya lebih menumpukan sama ada ekonomi dunia benar-benar memerlukan kesemua bekalan minyak yang kembali memasuki pasaran,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi MARC Ratings Bhd Dr Ray Choy berkata harga minyak mentah Brent yang sederhana menuju purata indikatif US$80 setong hingga US$90 setong kelihatan munasabah pada 2027 berbanding unjuran MARC Ratings sebanyak US$90 setong hingga US$100 setong bagi 2026.

Beliau menyatakan perkara ini mengandaikan pemulihan berperingkat bagi eksport minyak Asia Barat serta pemulihan bekalan global yang mengatasi pertumbuhan permintaan.

“Bagaimanapun, premium risiko geopolitik yang berterusan, inventori yang semakin susut dan kos pengangkutan laut yang tinggi menunjukkan bahawa penstabilan harga mungkin tidak berlaku secara sekata, khususnya pada separuh pertama 2027,” katanya kepada Bernama.

Choy menambah bahawa pemulihan aliran minyak melalui Selat Hormuz yang lazimnya menyumbang kira-kira satu perempat daripada perdagangan minyak global melalui laut akan mengurangkan kekangan bekalan fizikal dengan ketara.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan pasaran tidak akan kembali normal serta-merta khususnya mengambil kira inventori yang semakin susut, kerosakan infrastruktur serta kos pengangkutan laut dan insurans yang kekal tinggi.

“Sehubungan itu, kami mengunjurkan kekangan bekalan di pasaran akan beransur-ansur reda pada 2027 walaupun pemulihan sepenuhnya kepada keadaan sebelum konflik masih belum dapat dipastikan,” kata Choy.

Beliau menambah bahawa pasaran minyak global berpotensi bergerak ke arah kedudukan yang lebih seimbang pada tahun hadapan dengan bekalan mungkin meningkat apabila pengeluaran kembali pulih.

Choy menegaskan bahawa Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan bekalan fizikal akan mengatasi permintaan, masing-masing pada 108.4 juta tong sehari (mbpd) berbanding 104.4 mbpd.

“Bagaimanapun, unjuran ini masih bergantung pada pemulihan kestabilan geopolitik dan pengeluaran minyak di Asia Barat.

“Justeru, usaha untuk mencapai keseimbangan pasaran akan terus berdepan ketidaktentuan dan turun naik harga minyak,” katanya.

Choy berkata, OPEC+ akan berdepan cabaran untuk menyelaraskan kuota pengeluaran secara berkesan berikutan ketidaktentuan luaran susulan konflik itu manakala banyak perkara bergantung pada pemulihan infrastruktur yang rosak.

— BERNAMA