Bursa dibuka tinggi pada pagi ini

Bursa dibuka tinggi pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Dagangan Bursa Malaysia kekal tinggi pada sesi awal urus niaga pagi ini selepas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri dagangan semalam pada paras tinggi seharian disokong oleh belian minit-minit terakhir.

Pada 9.12 pagi, indeks utama menambah 0.03 peratus kepada 1,446.94 berbanding 1,446.39 pada penutupan semalam.

FBM KLCI dibuka 0.27 mata lebih rendah pada 1,446.12.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 159 berbalas 143, manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,759 tidak diniagakan dan 23 digantung.

Jumlah dagangan 219.46 juta unit bernilai RM124.03 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata beberapa kegiatan memburu saham murah pada lewat dagangan berjaya menarik keluar FBM KLCI daripada paras semasanya dan berakhir melepasi paras 1,445.

“Justeru, kita mungkin menyaksikan aktiviti kemas kini akaun menjelang dua minggu terakhir dagangan bagi tahun 2023.

“Dengan itu, kami mengunjurkan trend menaik indeks berterusan dan bergerak dalam julat antara 1,445 hingga 1,455 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen pada RM9.07 manakala Public Bank, CIMB dan Tenaga semuanya tidak berubah, masing-masing kekal pada paras RM4.25, RM5.78 dan RM9.91.

Bagi saham aktif, Handal Energy dan Velesto Energy, kedua-duanya menokok setengah sen pada 13.5 sen dan 22 sen tetapi Sarawak Consolidated susut 1.5 sen pada 79 sen dan Reneuco turun setengah sen menjadi 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 2.40 mata kepada 10,681.70, Indeks FBMT 100 menambah 2.09 mata untuk mencatatkan paras 10,349.75 dan Indeks FBM Emas Syariah peroleh 1.20 mata kepada 10,774.36.

Indeks FBM ACE pula mengembang 8.78 mata kepada 5,117.94 tetapi Indeks FBM 70 kerugian 5.27 mata kepada 14,084.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 0.92 mata pada 16,365.27, Indeks Perladangan mencatatkan 15.20 mata lebih baik pada 6,993.00, manakala Indeks Tenaga meningkat 2.95 mata kepada 795.84.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula kerugian 0.25 mata kepada 170.44

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )