Mirabel unggul pemain terbaik Malaysia tiga tahun berturut-turut di Maybank LPGA

HomeFeaturedSukan Dan Kesihatan

Mirabel unggul pemain terbaik Malaysia tiga tahun berturut-turut di Maybank LPGA

KUALA LUMPUR,. Pemain golf muda negara Mirabel Ting terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila muncul pemain terbaik Malaysia buat t

Network School: Tindakan tegas menanti jika langgar undang-undang
Belanjawan 2027: Kementerian, agensi kerajaan perlu percepat pelaksanaan
Berang ditegur tidak ke sekolah, remaja toreh bapa

KUALA LUMPUR,. Pemain golf muda negara Mirabel Ting terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila muncul pemain terbaik Malaysia buat tahun ketiga berturut-turut pada Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 yang melabuhkan tirainya di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara di sini hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di kedudukan ke-49 dengan catatan keseluruhan lima bawah par 283 (75-68-69-71), selepas melakukan satu bawah par 71 pada pusingan terakhir kejohanan berprestij itu.

Mirabel yang berusaha memperbaiki kedudukannya pada hari terakhir melakukan empat birdie di lubang ketiga, ke-11, ke-13 dan ke-18, namun tiga bogey di lubang kedua, keempat dan ke-10 menjejaskan peluangnya untuk mencatat keputusan lebih baik.

Prestasi itu menyaksikan beliau membawa pulang hadiah wang tunai USD10,942 (RM44,416) daripada keseluruhan hadiah USD3 juta (RM12.17 juta) yang ditawarkan pada edisi keempat kejohanan berkenaan.

Mengakui kelemahan dalam pukulan putt masih membelenggu permainannya sepanjang kejohanan, Mirabel bagaimanapun tetap berpuas hati apabila berjaya menamatkan pusingan terakhir dengan catatan bawah par.

“Memang sukar, tetapi saya masih berjaya menamatkan pusingan dengan catatan bawah par dan itu sesuatu yang positif,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan saingan.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Natasha Oon muncul pemain kedua terbaik Malaysia selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-56 dengan catatan keseluruhan dua bawah par 286 (74-71-70-71).

Natasha yang turut mencatat satu bawah par 71 pada pusingan terakhir membawa pulang hadiah wang tunai USd8,693 (RM35,285).

Dalam pada itu, Liyana Durisic yang mencuri tumpuan sebagai pemain terbaik negara pada pusingan pembukaan dengan catatan lima bawah par 67, gagal mengekalkan momentum apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-68.

Liyana menamatkan kempen dengan catatan keseluruhan dua atas par 290 (67-73-76-74), selepas melakukan dua atas par 74 pada pusingan terakhir untuk membawa pulang hadiah wang tunai USD6,295 (RM25,552).

Seorang lagi pemain negara Kelly Tan menamatkan saingan di kedudukan ke-74 dengan catatan keseluruhan enam atas par 294 (76-70-74-74) untuk meraih USD5,696 (RM23,120), manakala Genevieve Ling menduduki tempat ke-75 dengan catatan sembilan atas par 297 (74-76-75-72) dan menerima USD5,628 (RM22,844).

Kejohanan itu menyaksikan pemain Jepun, Miyu Yamashita berjaya mempertahankan kejuaraan selepas mencatat empat bawah par 68 pada pusingan terakhir untuk mengumpul keseluruhan 22 bawah par 266 (65-66-67-68), sekali gus muncul juara dengan kelebihan dua pukulan.

— BERNAMA