TRUMP MAHU PERCEPAT PEMBANGUNAN AI MESKI BERDEPAN RISIKO

HomeFeaturedBerita Semasa

TRUMP MAHU PERCEPAT PEMBANGUNAN AI MESKI BERDEPAN RISIKO

WASHINGTON,. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu mempercepat pembangunan kecerdasan buatan (AI) di negara itu meskipun semakin banyak ama

BYD perkenal pelan pengembangan EV Malaysia dalam seminggu lagi
1.16 juta isi rumah terima manfaat inisiatif Bank Makanan sejak 2020 – Armizan
Ujian bertulis SPM bermula lancar di seluruh negara, calon terjejas bencana dibantu

WASHINGTON,. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu mempercepat pembangunan kecerdasan buatan (AI) di negara itu meskipun semakin banyak amaran mengenai risiko kewujudan yang ditimbulkan teknologi berkenaan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

“Kami sama sekali tidak akan menghalang atau membantutkan pertumbuhan industri yang luar biasa ini,” tulis Trump di platform Truth Social.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa AS mendahului China dan negara lain di dunia dalam teknologi AI dan mahu kedudukan itu dikekalkan.

Kebimbangan mengenai keperluan memperlahankan pembangunan teknologi itu semakin meningkat selepas beberapa model AI didapati melakukan serangan siber dengan campur tangan manusia yang terhad atau tanpa campur tangan manusia, termasuk insiden melibatkan syarikat perisian AI terkemuka Anthropic dan OpenAI.

Kedua-dua syarikat melaporkan insiden apabila model AI mengakses atau menjejaskan sistem komputer ketika penilaian keselamatan siber, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai risiko sistem AI terlepas daripada kawalan manusia.

Sebahagian penyelidik dalam sektor itu turut memberi amaran bahawa AI berpotensi menyebabkan kepupusan manusia, walaupun tiada kesepakatan sejagat mengenai perkara berkenaan.

Pada masa sama, gerakan menentang pembinaan pusat data AI berskala besar semakin berkembang di AS, sebahagiannya kerana kemudahan itu meningkatkan kos elektrik dan air.

Trump turut mengumumkan bahawa satu “Pasukan AI” akan menangani kesan “buruk” AI berdasarkan peruntukan undang-undang jenayah sedia ada.

Dalam konteks itu, beliau merujuk kepada Space Force yang ditubuhkan ketika penggal pertamanya bagi menangani ancaman dari angkasa lepas.

Beliau juga berkata akan melantik seorang “AI Czar” tidak lama lagi, seumpama pesuruhjaya kerajaan yang bertanggungjawab terhadap teknologi berkenaan.

Usahawan Silicon Valley David Sacks sebelum ini memegang peranan itu sebelum berundur pada Mac selepas tempohnya sebagai pegawai kerajaan lantikan luar tamat.

Butiran mengenai “Pasukan AI” yang diumumkan Trump masih belum jelas.

Penubuhannya juga boleh ditafsirkan sebagai langkah awal pentadbiran beliau untuk mewujudkan pengawasan kerajaan terhadap teknologi berkenaan.

— BERNAMA-dpa