JAKARTA,. Platform pendidikan berpangkalan di Malaysia, Crux Institute menyasarkan untuk meningkatkan jumlah semasa kira-kira 90 pelajar Indonesia yan
JAKARTA,. Platform pendidikan berpangkalan di Malaysia, Crux Institute menyasarkan untuk meningkatkan jumlah semasa kira-kira 90 pelajar Indonesia yang mengikuti program Doktor Falsafah (PhD) sebanyak tiga kali ganda menjelang tahun depan sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia.
Pengerusinya Raja Muzaffar Raja Hassan berkata Crux memulakan inisiatifnya di Indonesia kira-kira 18 bulan lepas, didorong oleh hubungan budaya, bahasa dan sejarah yang erat antara kedua-dua negara.
Beliau berkata institut itu bekerjasama dengan rakan universiti bagi memudahkan laluan pengajian pascasiswazah untuk pelajar Indonesia, di samping menggalakkan kerjasama penyelidikan, pertukaran akademik dan bentuk kerjasama institusi yang lain.
“Kami mempunyai kira-kira 90 pelajar PhD ketika ini dan berharap dapat meningkatkan jumlah itu sebanyak tiga kali ganda,” katanya kepada pemberita pada Forum Akademik Malaysia-Indonesia 2026 di sini pada Selasa.
Forum Akademik Malaysia-Indonesia 2026 yang dirasmikan Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzaffar Shah Mustafa menghimpunkan lebih 200 wakil daripada 30 universiti Indonesia dan enam universiti Malaysia.
Dianjurkan Crux dengan kerjasama Education Malaysia Indonesia, acara itu turut menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) antara Crux dengan Universitas Bina Sarana Informatika, Universitas Esa Unggul, Universitas Teknologi Bandung, International University Network dan Universitas Telogorejo Semarang.
Beliau berkata forum pada Selasa itu merupakan yang pertama dianjurkan institut berkenaan bagi menghubungkan institusi Indonesia dengan rakan universiti yang sesuai di Malaysia.
Raja Muzaffar berkata MoU berkenaan merangkumi pertukaran akademik dan pelajar, penyelidikan dan penerbitan bersama serta pembangunan program bersama.
Sebagai sebahagian daripada pengembangan operasinya di Indonesia, Crux menjalin usaha sama dengan Merry Riana Education awal tahun ini, dengan Merry Riana College menerajui program sarjana yang ditawarkan melalui pembelajaran terbuka dan jarak jauh, membolehkan pelajar mengikuti pengajian tanpa perlu berpindah ke Malaysia.
Raja Muzaffar berkata kerjasama sedia ada dengan Universitas Pancasila turut menawarkan laluan dwi ijazah sarjana yang melibatkan pemindahan kredit ke Malaysia, membolehkan pelajar memperoleh dua ijazah sarjana dalam tempoh 18 bulan.
Selain Indonesia, beliau berkata Crux kini dalam peringkat awal menjalin kerjasama di Turkmenistan, dengan lawatan timbal balik sedang dipertimbangkan bagi memudahkan penandatanganan beberapa MoU dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
— BERNAMA

