SHANGHAI,. Penyertaan Malaysia pada WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 bukan sahaja menjadi medan menguji keupayaan peserta muda negara dalam
SHANGHAI,. Penyertaan Malaysia pada WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 bukan sahaja menjadi medan menguji keupayaan peserta muda negara dalam bidang kemahiran malah membuka peluang untuk memperluas rangkaian pelaburan industri baharu melalui pendedahan kepada keupayaan tenaga kerja mahir tempatan.
Chef de mission WSC negara Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan tenaga kerja mahir tempatan adalah antara faktor penting yang boleh menarik kemasukan kilang dan industri baharu ke Malaysia.
“Kita mahu menambah rangkaian pelaburan sebab apabila melibatkan banyak negara, tentulah ada peluang pelaburan negara kita bagi melihat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) serta kemahiran ini diperkenal di peringkat dunia dan pelabur merasa yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia.
“Mereka datang ke Malaysia bukan hanya kemudahan prasarana yang lengkap, mereka inginkan pekerja mahir untuk kilang dan juga industri yang mereka bawa ke Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata penglibatan dalam kejohanan berprestij berkenaan turut memberi peluang kepada Malaysia untuk menanda aras tahap kemahiran belia negara dengan piawaian antarabangsa, selain mempelajari teknologi baharu yang digunakan dalam pelbagai disiplin kemahiran.
Ahmad berkata pemindahan ilmu dan pendedahan teknologi berkenaan khususnya kecerdasan buatan amat kritikal untuk diserapkan bagi memperkukuh ekosistem TVET tempatan.
“Bukan hanya kita nak menang emas tetapi yang lebih penting daripada itu, kita ingin menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang memiliki kemahiran tinggi dan kita ingin benchmark tahap kita itu dengan peringkat antarabangsa.
“Kita tahu bahawa pertandingan ini melibatkan 70 negara dan 1,400 peserta… oleh itu, tentulah kita boleh belajar… yang pertama, kita nak benchmark kemahiran kita pada peringkat dunia… yang kedua, untuk kita mendapat teknologi baharu yang terkini dalam kemahiran, belajar lebih lagi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata penyertaan negara pada edisi kali ini berteraskan empat tunggak utama, iaitu pertandingan, penandaarasan piawaian global, pemindahan teknologi baharu dan pemerkasaan pelaburan industri.
Ahli Majlis TVET Negara itu juga berkata WSC adalah simbol dan kemuncak pencapaian bagi pelatih TVET yang bersaing dari peringkat kebangsaan, ASEAN, Asia hinggalah ke pentas dunia.
Beliau berkata Malaysia sebelum ini muncul juara WorldSkills di Manila pada Ogos 2025 dengan memperoleh 13 pingat emas manakala di peringkat Asia pula, yang berlangsung di Taiwan pada November 2025, negara menduduki tempat ketiga dengan lima pingat emas.
Ahmad berkata pencapaian itu mencerminkan keupayaan peserta TVET negara bersaing di peringkat antarabangsa selain membuktikan bidang kemahiran mempunyai prospek kerjaya yang luas.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa institusi latihan tempatan agar memberi tumpuan khusus kepada pembentukan usahawan teknikal (technopreneur) dan menyediakan modul asas perniagaan supaya graduan tidak sekadar menjadi pekerja makan gaji.
Seramai 22 peserta muda negara menyertai WSC Shanghai 2026 dalam 21 bidang kemahiran bertaraf antarabangsa.
Kejohanan itu menghimpunkan 1,400 profesional muda berkemahiran terbaik, yang mewakili 64 bidang.
WSC Shanghai 2026 berlangsung dari 22 hingga 28 Sept ini, dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya terlibat sebagai urus setia utama delegasi Malaysia ke kejohanan berkenaan.
— BERNAMA

