KUALA LUMPUR,. Tourism Malaysia berharap peruntukan sektor pelancongan ditingkatkan dalam Belanjawan 2027 bagi mencapai sasaran kedatangan 47 juta pel
KUALA LUMPUR,. Tourism Malaysia berharap peruntukan sektor pelancongan ditingkatkan dalam Belanjawan 2027 bagi mencapai sasaran kedatangan 47 juta pelancong menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia yang dilanjutkan hingga tahun hadapan.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata peningkatan peruntukan penting bagi memastikan promosi Malaysia di pasaran antarabangsa dapat diteruskan, sekali gus membolehkan negara kekal berdaya saing dalam menarik kehadiran pelancong.
Beliau berkata perkara berkenaan mengambil kira pandangan penggiat industri pelancongan yang berharap peruntukan dapat ditingkatkan bagi memperkukuh usaha memperkenalkan Malaysia di peringkat global.
“Untuk kekal berdaya saing, kita memerlukan suntikan, bukan sahaja kewangan tetapi juga melalui kerjasama dengan penggiat industri pelancongan,” katanya selepas majlis pelancaran Pakej Pelancongan Pendidikan Edu+ 2.0, EatVenture dan Pakej Taste of Orchard bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 di sini hari ini.
Mohd Amirul Rizal berkata sektor pelancongan mempunyai kesan limpahan yang luas kepada pelbagai kelompok masyarakat, bukan sahaja hotel dan restoran, malah merangkumi pengusaha produk serta perkhidmatan berkaitan pelancongan.
Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah memohon peruntukan lebih tinggi berbanding tahun lepas bagi memastikan sektor itu terus berdaya tahan termasuk menerusi penganjuran acara berskala antarabangsa.
“Acara berskala antarabangsa tidak semestinya besar tetapi mampu menarik pelancong asing untuk datang ke Malaysia khusus bagi menghadiri acara berkenaan. Itu yang kita cuba lakukan,” katanya.
Mohd Amirul Rizal berkata jumlah ketibaan pelawat antarabangsa meningkat 2.5 peratus kepada 21.1 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 20.6 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Prestasi perbelanjaan pelancongan domestik pada suku pertama tahun ini pula meningkat 15.8 peratus kepada RM34.0 bilion berbanding RM29.4 bilion pada suku pertama 2025, manakala jumlah pelawat domestik meningkat 7.2 peratus kepada 74.7 juta berbanding 69.7 juta dalam tempoh sama.
Beliau berkata walaupun menunjukkan peningkatan positif, prestasi itu belum mencapai sasaran ditetapkan bagi Kempen Melawat Malaysia, susulan kesan konflik di Asia Barat yang bermula awal Mac lepas.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan kekal menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa bagi memastikan momentum promosi yang telah dilaksanakan terus diperkukuh dan tidak terjejas oleh faktor luaran seperti konflik geopolitik.
“Penting untuk tahun ini kita terus mewujudkan permintaan, sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju untuk melanjutkan Kempen Melawat Malaysia hingga 2027,” katanya.
— BERNAMA

