JAKARTA,. Gelanggang sudah tersedia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta untuk Harimau Malaya memulakan cabaran pada kempen Piala ASEAN FIFA be
JAKARTA,. Gelanggang sudah tersedia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta untuk Harimau Malaya memulakan cabaran pada kempen Piala ASEAN FIFA berdepan Bangladesh esok.
Sepak mula pada 4 petang itu akan membuka tirai saingan Divisyen 1 edisi sulung kejohanan berkenaan, empat jam sebelum tuan rumah Indonesia berdepan Singapura di venue sama.
Tinjauan Bernama pada petang ini, mendapati bahang kejohanan mula terasa apabila sepanduk dan gegantung beridentitikan Piala ASEAN FIFA menghiasi pekarangan serta pintu masuk stadium, manakala anggota keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi sekitar venue.
Indonesia melaksanakan operasi keselamatan selama 16 hari melibatkan 5,641 anggota polis di sekitar Jakarta dan Jawa Barat, merangkumi kawalan di stadium, hotel penginapan pasukan, padang latihan serta laluan pergerakan, selain penugasan unit khusus.
Kemuncak hari pembukaan bakal diserikan dengan upacara perasmian pada sebelah malam yang menampilkan persembahan penyanyi terkenal Indonesia Agnez Mo, Isyana Sarasvati dan Afgan, selain kemunculan legenda bola sepak ASEAN.
Menteri Belia dan Sukan Indonesia yang juga Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir dijadual menyempurnakan perasmian kejohanan itu.
Bangladesh yang menghuni ranking ke-181 dunia merupakan ujian pertama Malaysia di ranking ke-136 sebelum bahang saingan dijangka semakin memuncak di GBK yang berkapasiti 78,000 penonton pada 28 Sept, apabila Harimau Malaya berdepan Indonesia di ranking ke-118 dalam pertembungan serantau yang dinanti-nantikan.
Lebih daripada maruah serantau menjadi taruhan apabila edisi sulung Piala ASEAN FIFA yang berlangsung dalam kalendar antarabangsa FIFA turut menawarkan mata ranking dunia menerusi setiap perlawanan.
Malaysia menyertai kejohanan itu dengan misi membina semula keyakinan selepas mara ke separuh akhir Kejohanan ASEAN bulan lepas, dengan ketua jurulatih sementara Tan Cheng Hoe sebelum ini berkata keutamaannya adalah mendapatkan prestasi terbaik daripada skuad negara serta mengembalikan keyakinan penyokong.
Cheng Hoe membawa 23 pemain ke Indonesia dengan Arif Aiman Hanapi, Dion Cools dan Faisal Halim antara tonggak disenaraikan, selain pemain naturalisasi dan warisan baharu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo serta Brad Tapp.
Skuad negara turut melakukan tiga pertukaran pada saat akhir selepas Faris Danish Asrul, Sergio Aguero dan Romel Morales diketepikan akibat kecederaan, dengan Harith Haiqal Adam Afkar, Muhamad Syahir Bashah dan Paulo Josue dipanggil sebagai pengganti.
Selepas perlawanan menentang Bangladesh dan Indonesia, Malaysia akan berangkat ke Bandung bagi melengkapkan saingan Kumpulan A berdepan Singapura yang menghuni ranking ke-148 dunia di Stadium Si Jalak Harupat pada 1 Okt.
Kumpulan B pula diwakili Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Juara setiap kumpulan akan berentap pada final di GBK pada 5 Okt, manakala naib juara bertemu dalam aksi penentuan tempat ketiga di venue sama pada perlawanan yang dijadualkan lebih awal.
Piala ASEAN FIFA edisi pertama menghimpunkan 14 pasukan kebangsaan dalam dua divisyen, dengan lapan pasukan bersaing dalam Divisyen 1 di Indonesia dan enam lagi berentap dalam Divisyen 2 di Hong Kong dari 24 Sept hingga 5 Okt.
— BERNAMA

