NAGOYA,. Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi masih berharap dapat meneruskan cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, selepas kecederaan m
NAGOYA,. Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi masih berharap dapat meneruskan cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, selepas kecederaan memaksanya menamatkan final 100 meter (m) lelaki di tempat kelapan, semalam.
Azeem yang mengalami kekejangan otot ketika perlumbaan bagaimanapun belum mahu memikirkan kemungkinan terpaksa menarik diri daripada baki acara yang disertainya, sebaliknya menunggu hasil pemeriksaan lanjut.
Pelari berusia 22 tahun itu dijadual beraksi dalam acara 4x100m lelaki yang bermula esok dan 4x100m campuran pada Isnin depan.
“Saya akan menjalani pemeriksaan lanjut dan berharap tiada apa-apa yang serius, supaya saya boleh terus mewakili Malaysia pada temasya ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam final 100m semalam, Azeem terpaksa memperlahankan larian selepas mengalami kekejangan otot sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan 14.65 saat (s).
Walaupun berlari dalam keadaan terhencut-hencut, pemegang rekod kebangsaan itu tetap meneruskan saingan sehingga ke garisan penamat sebelum mendapatkan rawatan daripada pasukan perubatan.
Kegagalan itu menyaksikan Azeem tidak dapat mengulangi pencapaian di Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila meraih pingat gangsa menerusi catatan 10.11s.
Emas 100m kali ini menjadi milik pelari Thailand, Puripol Boonson yang mencatat rekod Sukan Asia 9.90s, manakala wakil Oman, Ali Al Balushi meraih perak dengan 10.04s dan rakan senegaranya Malham Al Balushi gangsa dengan 10.11s.
Azeem mengakui kecederaan adalah perkara yang paling ditakuti atlet, namun melihat apa yang berlaku sebagai sebahagian daripada perjalanan kariernya.
“Setiap perkara berlaku dengan sebab. Itu yang sentiasa saya pegang. Perkara paling menakutkan dalam sukan ini ialah kecederaan dan saya percaya tiada atlet yang mahu melaluinya.
“Saya sudah melakukan segala yang termampu untuk memastikan saya berada di tempat yang saya mahukan, tetapi Tuhan mempunyai perancangan yang lebih baik,” katanya.
— BERNAMA

