KUANTAN,. Seorang pekebun dan peniaga produk pertanian mengalami kerugian lebih RM1.15 juta, selepas terperdaya dengan sindiket penipuan cinta atau lo
KUANTAN,. Seorang pekebun dan peniaga produk pertanian mengalami kerugian lebih RM1.15 juta, selepas terperdaya dengan sindiket penipuan cinta atau love scam.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata mangsa, wanita berusia 50 tahun, berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai Siew Gui Lim @ Jason melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Julai, sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.
“Suspek kemudian menyamar sebagai pengarah perunding keselamatan siber dan menawarkan pelaburan emas dengan menjanjikan keuntungan kepada mangsa.
“Selepas mangsa membuat bayaran berkaitan pelaburan berkenaan, suspek memperkenalkan pula satu platform bernama ‘Veniec Lottery’ yang didakwa sebagai usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dipujuk membuat beberapa deposit bagi mendapatkan keuntungan dan bonus, sebelum melakukan pelbagai transaksi ke tujuh akaun bank berjumlah RM1,150,034.70 membabitkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga.
“Bagaimanapun, mangsa gagal mengeluarkan wang berkenaan sebelum menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya serta menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Azry Akmar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan individu yang menggunakan hubungan persahabatan atau hubungan istimewa untuk memujuk mangsa membuat pelaburan atau menyerahkan wang.
Beliau berkata orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule, sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau membuat laporan polis,” katanya.
— BERNAMA

