KUALA LUMPUR,. Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka menarik minat aktiviti pembelian saham murah minggu depan, didorong
KUALA LUMPUR,. Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka menarik minat aktiviti pembelian saham murah minggu depan, didorong oleh lanjutan genjatan perdagangan Amerika Syarikat-China bagi tempoh dua bulan lagi.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata lanjutan gencatan perdagangan itu mengurangkan risiko serta-merta berhubung peningkatan tarif seterusnya sebelum akhir tahun sekali gus memberi gambaran yang lebih jelas kepada perniagaan dan rantaian bekalan.
“Peningkatan minat terhadap risiko susulan lanjutan gencatan perdagangan itu boleh memberi ruang kepada indeks untuk pulih semula walaupun harga minyak yang tinggi dan hasil bon global yang meningkat kekal sebagai risiko penurunan utama.
“Indeks itu juga diniagakan lebih hampir kepada paras terendah tahun ini baru-baru ini iaitu 1,656.83 mata yang boleh mendorong aktiviti membeli secara terpilih pada harga rendah bagi kaunter bermodal besar yang mempunyai asas kukuh selepas penurunan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kemas kini pasaran harian menerusi WhatsApp Channels.
Bagaimanapun, Mohd Sedek mengunjurkan sebarang pemulihan dalam tempoh terdekat berkemungkinan kekal bersifat terpilih dan bukannya menyeluruh memandangkan pelabur terus memantau hasil bon global, harga minyak dan aliran dana asing.
Niaga hadapan FBM KLCI ditutup rendah minggu ini seiring dengan prestasi pasaran tunai pendasar yang lebih lemah.
Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, kontrak September 2026 meningkat 18.5 mata kepada 1,661.5 manakala kontrak Oktober 2026 dan Mac 2027 masing-masing naik 12.5 mata kepada 1,655.0 dan 1,647.5.
Kontrak Disember 2026 pula menokok 14.5 mata kepada 1,664.0.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 145,235 lot daripada 27,714 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat ketara kepada 145,426 kontrak pada Jumaat daripada 48,164 kontrak seminggu sebelumnya.
Sepanjang minggu lepas, FBM KLCI berkembang 6.06 mata untuk ditutup pada 1,671.62 semalam.
— BERNAMA

