TIKTOK SETUJU BAYAR US$116 JUTA SELESAI SAMAN DI ALABAMA

HomeFeaturedBerita Semasa

TIKTOK SETUJU BAYAR US$116 JUTA SELESAI SAMAN DI ALABAMA

HAMILTON (Kanada),. TikTok bersetuju membayar US$116 juta bagi menyelesaikan saman yang difailkan Alabama berhubung dakwaan platform itu memudaratkan

Hakim Besar Malaya bersara wajib, tegaskan hakim wanita diberi layanan sama rata
Pertahanan udara UAE bertindak balas terhadap ‘ancaman peluru berpandu’
Syarikat digital Malaysia bersedia bersaing di peringkat global – MATRADE

HAMILTON (Kanada),. TikTok bersetuju membayar US$116 juta bagi menyelesaikan saman yang difailkan Alabama berhubung dakwaan platform itu memudaratkan pengguna muda menerusi reka bentuk yang mendorong penggunaan secara berlebihan, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Jumaat.

Menurut Alabama Reflector, penyelesaian itu dicapai antara TikTok dan Peguam Negara Alabama menerusi dekri persetujuan yang dikeluarkan seorang hakim Mahkamah Circuit Montgomery.

Selain bayaran US$116 juta sebagai pampasan, TikTok turut dikehendaki mewujudkan dana berasingan bernilai US$183 juta, bergantung kepada sama ada negeri-negeri lain turut menyertai perjanjian seumpama itu.

Di bawah penyelesaian berkenaan, TikTok perlu menyekat akses pengguna remaja antara tengah malam hingga 6 pagi dan menetapkan had penggunaan harian secara lalai kepada dua jam.

Platform itu juga perlu menyediakan kemudahan kepada ibu bapa untuk memantau serta mengehadkan penggunaan akaun anak-anak mereka.

TikTok bagaimanapun tidak mengakui sebarang salah laku.

Alabama menyaman syarikat itu pada April 2025 dengan mendakwa algoritma TikTok mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya berkaitan dadah, perbuatan mencederakan diri dan gangguan pemakanan.

Saman itu turut mendakwa reka bentuk platform berkenaan menyebabkan pengguna muda terus menggunakan aplikasi itu bagi menyokong model pengiklanannya.

TikTok sebelum ini memohon supaya saman berkenaan ditolak dengan berhujah bahawa platform dalam talian dilindungi oleh kekebalan undang-undang, selain membangkitkan isu berkaitan undang-undang privasi.

Peguam Negara Alabama Steve Marshall menyifatkan penyelesaian itu sebagai “hari yang baik” untuk keluarga kerana TikTok kini perlu memberikan kawalan lebih besar kepada ibu bapa terhadap penggunaan aplikasi oleh anak-anak mereka.

TikTok pula berkata keputusan itu selaras dengan komitmen syarikat untuk terus memperkukuh ciri keselamatan bagi melindungi pengguna muda.

— BERNAMA-ANADOLU