KUASA PERTENGAHAN, ASEAN BOLEH BANTU RANGKA KEPUTUSAN GLOBAL – MOHAMAD HASAN

HomeFeaturedBerita Semasa

KUASA PERTENGAHAN, ASEAN BOLEH BANTU RANGKA KEPUTUSAN GLOBAL – MOHAMAD HASAN

NEW YORK,. Kuasa pertengahan seperti Malaysia dan organisasi serantau seperti ASEAN mempunyai peranan penting dalam merangka keputusan global serta me

AS AKAN BINA DUA PANGKALAN TENTERA UTAMA DI GREENLAND -TRUMP
BELANJAWAN 2027: TOURISM MALAYSIA HARAP PERUNTUKAN SEKTOR PELANCONGAN DITINGKATKAN
ACCA, KPM PERKASA 1,000 TENAGA PENDIDIK PERAKAUNAN DI SELURUH NEGARA

NEW YORK,. Kuasa pertengahan seperti Malaysia dan organisasi serantau seperti ASEAN mempunyai peranan penting dalam merangka keputusan global serta memastikan dialog terus berjalan apabila kuasa-kuasa besar gagal mencapai kesepakatan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata sebahagian besar negara yang diwakili dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukanlah kuasa besar, namun keputusan yang dibuat oleh segelintir pihak boleh menentukan masa depan semua.

“Kami adalah majoriti global. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kami tidak boleh sekadar menerima kesan daripada pilihan yang dibuat di tempat lain. Kami mesti membantu membentuk pilihan-pilihan berkenaan,” katanya semasa menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-81 di sini pada Sabtu.

Mohamad berkata kuasa pertengahan seperti Malaysia boleh membantu memastikan dialog terus berlangsung apabila kuasa-kuasa besar tidak dapat mencapai persetujuan.

Beliau turut menyatakan organisasi serantau seperti ASEAN mampu membawa perspektif rakyat mereka ke dalam perbahasan di peringkat global.

“Kami mesti mempunyai keyakinan untuk menyuarakan pandangan bagi rantau kami, bukan sekadar membiarkan pihak lain bercakap bagi pihak kami,” katanya.

Mohamad berkata masyarakat antarabangsa perlu membina semula kepercayaan terhadap keupayaan tadbir urus proaktif dan sistem multilateralisme di tengah-tengah ketidakpastian global yang semakin meningkat.

Beliau berkata Malaysia tidak akan berpaling daripada PBB sewaktu organisasi itu mendepani tempoh sukar, atau meninggalkan multilateralisme hanya kerana ia tidak sempurna.

“Kami akan berusaha untuk menjadikannya wajar untuk menerima kepercayaan yang diberikan,” katanya.

ASEAN atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara merupakan organisasi antarabangsa antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1967 untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi, serta mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara di Asia Tenggara.

Ia dianggotai 11 negara, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, dan Timor-Leste yang menyertai organisasi itu Oktober tahun lepas.

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

— BERNAMA