PBB MESTI BERALIH DARIPADA SEKADAR BEREAKSI KEPADA PENCEGAHAN, TERUTAMANYA DI GAZA – MOHAMAD HASAN

HomeFeaturedBerita Semasa

PBB MESTI BERALIH DARIPADA SEKADAR BEREAKSI KEPADA PENCEGAHAN, TERUTAMANYA DI GAZA – MOHAMAD HASAN

NEW YORK,. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti beralih daripada sekadar bertindak balas terhadap krisis kepada usaha pencegahan, dan tugas it

Cuaca panas, kurang hujan di Semenanjung berterusan hingga 31 Jan – MetMalaysia
ACCA, KPM PERKASA 1,000 TENAGA PENDIDIK PERAKAUNAN DI SELURUH NEGARA
Kerajaan bakal bina ekosistem bantu industri berinovasi dalam era digital

NEW YORK,. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti beralih daripada sekadar bertindak balas terhadap krisis kepada usaha pencegahan, dan tugas itu adalah paling mendesak di Gaza, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata PBB tidak sepatutnya hanya bertindak selepas bencana berlaku dengan mengira jumlah korban, menghantar bantuan dan membina semula apa yang telah musnah, hanya untuk menunggu krisis seterusnya.

“Ini tidak boleh menjadi masa depan sistem fahaman pelbagai pihak (multilateralisme). Kita mesti beralih daripada reaksi kepada pencegahan,” katanya semasa menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum UNGA ke-81 di sini pada Sabtu.

Mohamad berkata tiada tempat lain yang memerlukan tugas itu dilaksanakan dengan segera melainkan di Gaza.

Beliau berkata Malaysia dan banyak negara anggota lain telah berusaha sedaya upaya dalam menuntut keadilan untuk Gaza, termasuk secara konsisten menggesa gencatan senjata serta-merta dan penghantaran bantuan tanpa sekatan.

“Kami telah menyokong kerja-kerja kemanusiaan di Palestin. Kami telah mendesak tindakan punitif terhadap Israel. Dan kami telah memperjuangkan keanggotaan penuh Palestin di Dewan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kehendak bersama Perhimpunan Agung berulang kali tersekat berikutan kesan pembatalan daripada kuasa veto.

“Malaysia akan bercakap secara berterus-terang: Kami sudah muak dengan keadaan ini,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia akan terus menyokong usaha untuk mengukuhkan sistem multilateralisme dan memastikan ia dapat bertindak balas secara berkesan terhadap konflik dan krisis kemanusiaan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 73,000 rakyat Palestin telah terkorban manakala lebih 174,000 lagi cedera di Gaza sejak Oktober 2023.

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

— BERNAMA