SHAH ALAM,. Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan rayuan Ismanira Abdul Manaf bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun k
SHAH ALAM,. Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan rayuan Ismanira Abdul Manaf bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lepas.
Keputusan dibuat Hakim Noor Hisham Ismail itu bermakna Ismanira, 31, kekal dipenjara lima tahun seperti hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.
“Setelah meneliti rekod-rekod rayuan termasuk alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen dan hujah-hujah bertulis dan lisan kedua-dua pihak, mahkamah ini berpuas hati untuk memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan apa-apa kekhilafan fakta atau undang-undang dalam keputusannya,” katanya ketika membaca penghakiman ringkas.
Beliau berkata pertuduhan berkenaan menyatakan dengan jelas mengenai setiap elemen bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan cara pengabaian dilakukan juga telah dibutirkan, yang mana OKT tidak mungkin akan terkeliru, maka tiada kegagalan keadilan di situ.
“Perkataan ‘mengabaikan’ bermaksud peninggalan oleh orang yang mempunyai pemeliharaan untuk memberikan perhatian, pengawasan atau penjagaan yang dikehendaki oleh keadaan kanak-kanak itu.
“Tahap penjagaan diukur berdasarkan umur, keupayaan dan keperluan kanak-kanak serta persekitarannya. la berbeza daripada cabang ‘bertindak secara cuai’, yang merujuk kepada perbuatan positif,” katanya
Selain itu, mahkamah hari ini turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara lima tahun itu yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan berpendapat hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap Ismanira adalah memadai.
“Mahkamah Rayuan hanya campur tangan jika hukuman jelas tidak atau jelas berlebihan, atau jika terdapat kekhilafan prinsip. Akibat sesuatu kesalahan boleh dipertimbangkan dalam hukuman. Namun OKT dihukum atas pengabaiannya sendiri, bukan atas perbuatan jenayah pihak ketiga.
“Justeru hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen bukanlah sesuatu yang tidak memadai atau jelas berlebihan,” kata hakim itu dalam prosiding dihadiri peguam Haresh Mahadevan, Lavanesh Haresh dan Tiara Katirina Fuad bagi pihak Ismanira.
Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Iqbal Azman, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Sebelum ini dalam petisyen rayuan, pihak pembelaan berhujah Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila membuat kesimpulan bahawa kecederaan yang berlaku selepas kehilangan Zayn Rayyan itu adalah berpunca daripada tindakan perayu membenarkan kanak-kanak autistik itu berjalan di belakangnya.
Hujah pembelaan lagi, mahkamah tersilap apabila bergantung kepada kesimpulan pegawai penyiasat yang menyifatkan tindakan Ismanira sebagai satu bentuk pengabaian.
Sementara itu, pihak pendakwaan berhujah bahawa sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira adalah wajar, namun memohon hukuman lebih tinggi yang bersifat pencegahan.
Menurut pihak pendakwaan, hukuman lebih tinggi perlu dikenakan bagi mencegah kesalahan sama berulang, khususnya membabitkan individu yang rapat atau bertanggungjawab menjaga mangsa.
Sebelum ini, pada 31 Okt tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syaliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira diakhir kes pembelaannya.
Pada 23 Dis 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya bagi kesalahan mengabaikan Zayn Rayyan.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dalam kes berkenaan.
Ismanira turut diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau kedua-duanya.
— BERNAMA

