LABUAN,. Kompleks Kementerian Komunikasi bernilai RM9 juta di Labuan mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan kondusif serta perseki
LABUAN,. Kompleks Kementerian Komunikasi bernilai RM9 juta di Labuan mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan kondusif serta persekitaran kerja yang lebih baik untuk warga agensi di bawah kementerian itu, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata penyediaan infrastruktur yang baik penting bukan sahaja bagi menjamin keselesaan dan kebajikan warga kerja, malah membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan dalam menyalurkan maklumat serta memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Kompleks ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan persekitaran kerja kondusif serta kemudahan yang sesuai untuk warga kerja melaksanakan tugas.
“Apabila kita menyediakan tempat kerja yang baik dan kemudahan diperlukan, kita juga berharap perkara ini dapat membantu warga kerja melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kompleks Kementerian Komunikasi di Jalan Tanjung Taras di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Erwin Khairul Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.
Kompleks itu yang siap dibina pada 2019 menempatkan beberapa agensi di bawah Kementerian Komunikasi termasuk Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Labuan, JAPEN serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Fahmi berkata penempatan agensi di bawah kementerian itu dalam kompleks yang sama turut memudahkan penyelarasan dan kerjasama lebih erat, khususnya dalam penyampaian maklumat rasmi, berita serta kandungan penyiaran kepada masyarakat.
Beliau berkata agensi di bawah kementerian berkenaan mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan orang ramai menerima maklumat yang tepat, boleh dipercayai dan mudah difahami.
Sebelum ini, Fahmi menekankan bahawa komunikasi yang jelas dan berkesan amat penting bagi membantu masyarakat memahami dasar dan program kerajaan serta isu berkepentingan awam, selain mengurangkan risiko kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Beliau berkata kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur dan kemudahan agensi di bawah kementerian bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata penyediaan persekitaran kerja yang selesa dan kondusif juga penting dalam menyokong kebajikan serta produktiviti warga kerja, khususnya mereka yang berkhidmat di luar Semenanjung.
Kementerian Komunikasi turut menetapkan pengukuhan komunikasi strategik kerajaan sebagai antara keutamaan, termasuk memastikan inisiatif dan program kerajaan disampaikan secara lebih meluas dan berkesan kepada rakyat.
Sementara itu, Fahmi berkata penempatan Bernama, RTM, JAPEN dan MCMC di kompleks berkenaan dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kementerian di Labuan, sekali gus meningkatkan penyampaian maklumat dan perkhidmatan komunikasi kepada masyarakat setempat.
— BERNAMA

